Friday, July 12, 2013

MESIR - Calon Ikhwan Akan Diberi Tempat?

Kaherah: Perdana Menteri Mesir, Hazem al-Beblawi tidak menolak memberi jawatan kepada calon Ikhwanul Muslimin dalam kabinet baru selagi wakil daripada pergerakan itu benar-benar berkelayakan. 

Beblawi yang dilantik kelmarin berkata, beliau masih mempertimbang anggota kerajaan sementara selepas presiden Mohamed Morsi digulingkan oleh tentera, minggu lalu. 
Saya tidak ambil kira calon parti politik tertentu saja. Jika seseorang dinamakan dari Parti Keadilan dan Kebebasan (yang dinaungi Ikhwanul Muslimin), saya akan timbangkan jika beliau layak bagi jawatan itu, kata Beblawi dalam satu temubual telefon. 


Ambil kira dua kriteria 

Saya hanya ambil kira dua kriteria untuk kerajaan baru ini. Kecekapan dan kewibawaan orang berkenaan, katanya. 

Setakat ini, saya belum temui sesiapa, kata Beblawi sambil menerangkan beliau mahu memutuskan calon terbaik sebelum menawarkan jawatan kepada mereka. 

Media tempatan memetik pembantu presiden, Adli Mansour, sebagai berkata, bahawa Beblawi akan menawarkan beberapa jawatan kepada calon Ikhwanul Muslimin dalam kerajaan baru. 
Tetapi, tawaran itu sudah ditolak oleh pergerakan berkenaan yang menuntut supaya Morsi memerintah semula. 

Kami tidak akan berunding dengan perampas kuasa. Kami tolak semua langkah yang diambil selepas rampasan kuasa ini, kata jurucakap Ikhwanul Muslimin, Tareq al-Morsi. 

Di Semenanjung Sinai, beberapa lelaki bersenjata menembak kereta panglima kanan tentera. 

Cetus pertempuran 

Ia mencetuskan pertempuran antara askar kerajaan dan golongan pengganas menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan maut, menurut kenyataan tentera. 

Jurucakap Ikhwanul Muslimin, Ahmed Aref, mengecam serangan itu dan menggesa penentangan terhadap rampasan kuasa dilakukan secara aman. 

Tentera kemudian menarik balik kenyataan dari laman web Facebook mengenai kejadian itu tanpa memberi penjelasan. 
AFP  sumber

No comments: