Thursday, July 11, 2013

MESIR - Hubungan Tentera dengan AS dan Israel

Sungguh terkilan melihat orang yang mewajarkan penggulingan Presiden Dr Mohamed Morsi melalui kudeta tentera. Ada yang malah bergelar "bapak ustadz", namun telahannya berkenaan peristiwa yang berlaku di Mesir kini tidak mencerminkan kepintarannya selaku orang alim. Mereka berhujah tindakan tindakan yang diambil oleh Dr Morsi semasa menjadi presiden adalah punca rakyat Mesir bangkit menentangnya dan pihak tentera Mesir hanyalah menjalankan tanggungjawab mereka dengan melindungi dan mengembalikan "hak" rakyat. Maka menafikannya sebagai kudeta. Mereka seolah olah percaya bahawa pihak tentera Mesir adalah neutral, tidak berkepentingan dan bersih dari dosa dan najis politik dalaman Mesir. Sungguh melucukan.

Antara tuduhan yang dilemparkan mereka terhadap Morsi adalah beliau bersikap damai dengan Israel dan Amerika sedangkan bersikap keras terhadap kerajaan muslim Syria dengan mengisytiharkan jihad terhadap kerajaan Assad. Mereka menyelar tindakan Morsi menutup kedutaan Syria di Kaherah, akan tetapi tidak pula menutup kedutaan Israel. Mereka mengatakan Ikhwanul Muslimin berjinak jinak dengan yahudi akan tetapi tega memerangi kerajaan orang Islam Syria, seolah olah mereka baru tiba dari planet Marikh dan tidak mengetahui khabar berita tentang apa yang dilakukan oleh kerajaan Syria terhadap rakyatnya. Sungguh menghairankan mereka yang melabelkan diri mereka sebagai Ahlus Sunnah ini mengambil sikap yang begini pelik. Bertambah pelik apabila mereka mencemuh kepimpinan Morsi yang baru dipilih sebagai presiden tahun lepas kerana tidak mampu mengembalikan kestabilan ekonomi, malah menjadikan keadaan ekonomi lebih parah. Di sini saya akan cuba meredakan jerebu yang melanda otak pemikiran mereka sehingga pandangan mereka kabur dan tersisih dari kebenaran.

Israel yang masih belum mengeluarkan sebarang reaksi terhadap penggulingan Morsi adalah antara pihak yang tersenyum lebar dengan perkembangan terkini negara jiran mereka itu. Akhbar akhbar Israel secara terang terangan menyatakan kegembiraan mereka terhadap pemberontakan puak sekular-liberalis yang menjatuhkan Morsi. Alasan mereka serupa, kejatuhan Morsi adalah akibat kelemahan pentadbirannya sendiri serta percaturan politik Ikhwan yang tersilap langkah, menyebabkan rakyat bangkit memberontak, dengan pasukan tentera “terpaksa” bertindak. Skrip media Israel dan Barat inilah yang dijadikan pedoman oleh mereka yang mengutuk Morsi dan Ikhwan. Hakikatnya, pihak tentera lah yang menjadi teraju utama, didalangi Amerika dan Israel. Sudah menjadi pengetahuan umum, pihak tentera Mesir adalah belaan Rumah Putih. Pihak tentera lah yang mendesak hubungan intim dipelihara antara Kaherah, Washington dan Tel Aviv seperti yang dilaporkan oleh akhbar Israel Hayom:

“The U.S. aid is designated for the Egyptian military, and it is the military officials who value the relationship with Washington and cultivate the relationship with Israel. The Israeli-Egyptian connection is kept mainly at a level of security coordination. Therefore, for Israel, a leadership made up of military generals is perhaps more approachable than a government led by a party with religious leanings.”

Mungkin para pengkritik Morsi tidak mengetahui atau lupa bahawa Majlis Tertinggi Angkatan Tentera Mesir (SCAF) adalah merupakan pihak yang sebenarnya memegang tampuk kuasa di negara Arab yang mempunyai populasi terbanyak itu. Selain merupakan pasukan tentera terbesar di seluruh Timur Tengah dan benua Afrika, pasukan tentera Mesir juga memegang sebahagian besar ekonomi Mesir. Joshua Hammer menulis di dalam laporannya:

“Under Tantawi’s (Commander-in-chief of the armed forces) stewardship, the military controls a labyrinth of companies that manufacture everything from medical equipment to laptops to television sets, as well as vast tracts of real estate, including the Sharm el-Sheikh resort where Mubarak owns a seaside palace. Robert Springborg, professor of national security affairs at the Naval Postgraduate School in Monterey, has called the Egyptian military “a business conglomerate, like General Electric.” Tantawi is effectively the corporate head of this empire, with command of as much as 40 percent of the Egyptian economy.” 

Sepanjang sejarah moden Mesir, pihak tentera lah yang menentukan kuasa politik di Mesir, sehinggalah Hosni Mubarak digulingkan pada tahun 2011. Sebelum Presiden Morsi, kesemua presiden mesir sejak penggulingan Raja Farouk adalah terdiri dari pegawai tinggi angkatan tentera, dinaikkan dan dijatuhkan dengan pengaruh tentera. Penggulingan Husni Mubarak pada 2011 tidak lain adalah kerana Majlis Tertinggi Angkatan Tentera, diketuai Field Marshal Hussein Tantawi tidak bersetuju dengan hasrat Mubarak untuk mengangkat anaknya, Gamal Mubarak, sebagai penggantinya selaku presiden Mesir, walaupun setelah sekian lama Tantawi merasa terjamin dengan kerajaan Mubarak. Pemberontakan rakyat Mesir terhadap Mubarak hanyalah selaput luar yang membungkus perancangan tentera dalam percaturan politik Mesir.

Mohamed ElBaradei, individu yang ingin diketengahkan tentera bagi menggantikan Mubarak, mempunyai hubungan intim dengan Rumah Putih selama menerajui IAEA, selain direstui Israel. Beberapa pertemuan antara ElBaradei dengan Tantawi sebelum Mubarak berundur serta jaminan ElBaradei terhadap pendirian neutral tentera mencerminkan hubungan rapat keduanya. “I think they know they are not equipped to run the country—a place laden with every sort of problem. They want to deliver the goods, and go back to the barracks.” “I have a gut feeling,” demikian jaminan ElBaradei.

Hakikatnya, siapapun yang dilantik sebagai presiden, pihak tentera lah yang memegang tampuk kuasa serta sebahagian besar ekonomi Mesir. Maka ketika Morsi menjadi presiden Mesir pertama dari kalangan orang awam yang dipilih melalui undi pilihanraya demokrasi buat pertama kalinya di negara itu, seteru utamanya adalah pihak tentera. Tentera lah yang berkeras mahukan hubungan baik diteruskan dengan Amerika Syarikat dan Israel. Walaupun Morsi menutup kedutaan Syria di Kaherah dan memutuskan hubungan diplomatik dengan kerajaan Assad, angkatan tentera Mesir bertegas untuk tidak mencampuri urusan dalaman Syria. Permusuhan Morsi dengan Israel yang terpaksa dipendam itu dapat dilihat apabila kedutaan Israel di Kaherah yang telah dikosongkan setelah diserang semasa pemberontakan 2011, masih belum diperbaiki dan belum dibuka sehingga kini.

Hubungan rapat antara tentera Mesir dengan Amerika dan Israel adalah kerana bantuan kewangan yang diterima angkatan tentera dari Amerika setiap tahun berjumlah 1.3 billion dollar sejak 1987. Sejumlah 71.6 billion dollar telah dihulurkan oleh Amerika sejak 1948 sehingga 2011. Untuk tahun 2014, Presiden Obama meminta 1.55 billion dollar untuk Mesir, di mana 1.3 billion untuk angkatan tentera dan 250 juta dollar untuk sektor ekonomi Mesir, sebagaimana dilaporkan di dalam laporan kongres Amerika Syarikat bertarikh 27 Jun 2013, selain menyebut:

“With the President of Egypt hailing from the Muslim Brotherhood, some lawmakers and U.S. citizens are concerned that continued U.S. military aid and sales of U.S. equipment could be one day used by a government and military that is controlled by Islamist forces hostile to U.S. national security interests and to peace with Israel. Some opponents of U.S. military aid to Egypt may apply further scrutiny in the months ahead to proposed U.S. arms sales to Egypt financed by U.S. taxpayer dollars.”

Maka itu, apabila Morsi dan Ikhwanul Muslimin, dipilih oleh rakyat Mesir selaku kerajaan yang sah melalui pilihanraya, ia menjadi ancaman kepada Amerika Syarikat dan Israel. Justeru, kerana ‘dosa’ inilah, Morsi akhirnya digulingkan dengan jalan yang cukup licik, oleh pihak pihak yang berkepentingan. Inilah ‘dosa’ terbesar Morsi dan Ikhwan yang menyebabkan mereka disingkirkan, walaupun mereka membentuk kerajaan yang sah, menurut kamus demokrasi Amerika Syarikat. Tidak menghairankan, pihak Rumah Putih serta kerajaan kerajaan Barat, begitu enggan menamakan penggulingan mereka sebagai kudeta tentera. Malang sekali, ramai pula pihak yang terpedaya dengan sandiwara mereka.

Dengan penjelasan ini, diharap dapat memadamkan kabus yang menutupi minda mereka mereka yang pantas mencela Morsi dan pertubuhan Ikhwanul Muslimin, tanpa terlebih dahulu meneliti situasi sebenar. Kita haruslah bijak menganalisa dan mencerna maklumat yang diperolehi, lebih-lebih lagi dalam hal politik dan geopilitik, sebelum kita membuat kesimpulan yang pincang. Penulisan ini saya tujukan khusus buat rakan-rakan yang sejak beberapa hari lepas, sangat pantas mewajarkan penggulingan Morsi dan Ikhwanul Muslimin. Saya bukanlah pendukung Ikhwanul Muslimin, malah saya tidak mempercayai sistem demokrasi yang diamalkan dunia hari ini, yang mana Ikhwanul Muslimin telah memilih untuk menyertainya. Namun, saya tidak boleh membiarkan tuduhan dan fitnah dilemparkan terhadap mereka, kerana ia bukanlah jalan perjuangan yang hakiki. Janganlah kerana mereka telah memilih manhaj yang berbeza untuk perjuangan mereka, maka kita pula bergelumang dengan fitnah terhadap mereka demi membuktikan kebenaran manhaj pilihan kita. sumber

No comments: