Friday, July 5, 2013

MESIR: Mohammed Mursi ditahan

Imej yang diambil daripada televisyen kerajaan merakamkan Jeneral Abdel Fatah al-Sisi mengumumkan penggulingan Presiden Mohammed Mursi, semalam. - AFP 
 
KAHERAH 4 Julai - Jurucakap pergerakan Ikhwan Muslimin, Gehad El-Haddad berkata, Presiden Mesir, Mohammed Mursi kini ditahan pihak tentera selepas digulingkan, hari ini.
Katanya, Mursi ditahan di ibu pejabat Pengawal Republik sebelum dipindahkan ke Kementerian Pertahanan.
Waran tangkap turut dikeluarkan kepada sejumlah 300 pegawai Ikhwan Muslimin, lapor media milik kerajaan.
Seorang pegawai kanan tentera berkata, penahanan Mursi dibuat sebagai satu langkah 'pencegahan'.
Katanya, beliau mungkin berdepan dakwaan rasmi berhubung tuduhan yang dibuat oleh penentangnya.
Mursi ditahan bersama-sama pegawai-pegawai kanannya selepas mengeluarkan kenyataan menggesa pengikutnya melindungi pelantikannya sebagai Presiden secara sah dalam satu ucapan yang disebarkan di Internet beberapa jam selepas tentera mengumumkan penggulingan beliau, semalam.
"Saya adalah Presiden yang dipilih oleh rakyat dan rakyat perlu mempertahankannya," katanya dalam rakaman yang dimuat naik di YouTube itu.
Pegawai tentera itu berkata, mereka perlu bertindak kerana itu adalah retorik ancaman, dan Mursi telah berjaya mewujudkan permusuhan dalam kalangan rakyat Mesir. - AFP

No comments: