Monday, July 29, 2013

MESIR - Morsi Mungkin Dipenjarakan


  • Foto
    Penyokong Morsi meneruskan perhimpunan di Dataran Rabaa Adawiya di Kaherah, semalam. - Foto REUTERS
  • Foto
    Seorang penyokong Morsi membawa sepanduk dengan gambar pemimpin itu di Dataran Rabaa Adawiya ketika mengadakan tunjuk perasaan, semalam. - Foto REUTERS
Tempat sama bekas Presiden, Hosni Mubarak, anak ditahan

Kaherah: Presiden Mohammed Morsi, yang didakwa membunuh dan melakukan beberapa jenayah lain, berkemungkinan dipindahkan ke penjara sama dengan bekas Presiden Hosni Mubarak, kata Menteri Dalam Negeri Mohammad Ebrahim kelmarin. 
Ebrahim berkata, penyokong Morsi juga akan ditangani berdasarkan keputusan pendakwa, selepas meneliti aduan dibuat oleh penduduk mengenai bantahan itu yang menyebabkan jalan raya utama di Kaherah tersekat. 


“Dengan izin Tuhan, ia akan diselesaikan dengan cara tidak mendatangkan kerugian. Namun dengan izin Tuhan juga, ia mesti ditamatkan. Kami berharap mereka dapat berfikir dan menyertai proses politik.

“Mengenai masa untuk menyuraikan penunjuk perasaan, ada penyelarasan lengkap antara kami dan pasukan bersenjata. Mesyuarat terus dibuat untuk menetapkan masa sesuai bagi melaksanakan rancangan menurut aduan yang diserahkan kepada pendakwa mengenai pelanggaran undang-undang oleh penunjuk perasaan,” katanya kepada sidang akhbar.

Tuduh penyokong Morsi

Beliau turut menuduh rakyat yang menyokong Morsi menokok tambah bilangan yang terkorban dalam pertempuran, berkata pasukan keselamatan menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan. 
Ini berikutan kebimbangan bahawa mereka akan menyebabkan jambatan runtuh dengan membakar tayar kereta.

Namun beliau berkata pasukan keselamatan tidak menggunakan peluru hidup sebaliknya penunjuk perasaan mengalami luka dan cedera akibat peluru hidup yang ditembak oleh penunjuk perasaan.

Wartawan REUTERS, di sebuah hospital yang dikendalikan penyokong Morsi, menyaksikan penunjuk perasaan cedera akibat terkena peluru, kata pasukan perubatan.

Sementara itu, beribu-ribu penyokong Ikhwanul tidak berganjak di ibu kota ini semalam, mengatakan mereka tidak akan meninggalkan perhimpunan walaupun “pembunuhan beramai-ramai” oleh pasukan keselamatan yang menembak mati puluhan di kalangan mereka.

Perkhidmatan ambulans Mesir berkata 72 orang terbunuh dalam keganasan kelmarin dalam satu langkah berwaspada oleh penyokong Morsi yang disingkir, mencetuskan kebimbangan global bahawa negara paling padat dunia Arab itu berisiko terjerumus ke dalam jurang paling dalam. - AGENSI sumber

No comments: