Tuesday, July 16, 2013

MESIR: Penyokong Mursi teruskan perhimpunan

Seorang anggota tentera bersama kereta perisai, berkawal di hadapan Istana Presiden di Kaherah, Mesir, kelmarin. - Reuters 
 
KAHERAH 15 Julai - Beribu-ribu penyokong bekas Presiden Mesir yang digulingkan, Mohammed Mursi mengadakan perhimpunan secara aman di seluruh negara ini, hari ini bagi memperingati mereka yang terkorban dalam pertempuran dengan tentera pada Isnin lalu.
Jurucakap Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Hadad berkata, tunjuk perasaan di seluruh negara akan diteruskan bagi menuntut pihak tentera mengembalikan kuasa pemerintahan kepada Mursi dan mengecam tindakan kekerasan tentera ke atas penunjuk perasaan.
"Kami berikrar untuk terus mengadakan tunjuk perasaan secara aman sehinggalah tuntutan kami ditunaikan.
"Kami yang menyokong Perlembagaan yang sah tidak takut mati dan akan terus berdiri mempertahankannya di seluruh dataran di negara ini tanpa menggunakan senjata," katanya.
Sementara itu di Sinai, tiga pekerja kilang terbunuh dan 17 lagi cedera selepas sebuah bas kilang diserang dengan roket di wilayah Sinai Utara, awal hari ini.
Kejadian berlaku di bandar El Arish ketika serangan kumpulan bersenjata di wilayah yang bersempadan dengan Israel dan Genting Gaza itu, semakin meningkat selepas Mursi digulingkan oleh tentera pada 3 Julai lalu.
Dalam pada itu, pendakwa raya Mesir semalam mengarahkan pembekuan aset 14 pemimpin kanan Islam dengan sembilan daripada mereka adalah pemimpin pergerakan Ikhwanul Muslimin dan lima lagi daripada kumpulan lain, termasuk Gamaa Islamiya.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), William Burns melawat Mesir, hari ini dan akan mengadakan rundingan dengan tentera ketika Perdana Menteri sementara, Hazem al-Beblawi sedang memuktamadkan barisan Kabinetnya.
Burn akan menekankan 'penamatan semua keganasan dan permulaan peralihan kuasa secara demokrasi' dalam rundingan dengan beberapa parti di Kaherah, menurut satu kenyataan Jabatan Negara AS. - AFP/REUTERS

No comments: