Tuesday, July 2, 2013

MESIR - Semoga Mursi Tabah

KOTA BHARU: Dewan Ulamak PAS Negeri Kelantan yakin semua perancangan jahat bagi menafikan kuasa rakyat yang membentuk kerajaan Dr Muhammad Mursi (gambar) di Mesir akan menemui kegagalan.

Pemangku ketuanya, Ustaz Hassan Mahmood berkata, pihaknya yakin rakyat Mesir yang mengundi kerajaan Mursi pada Jun tahun lalu akan terus utuh walaupun sentiasa dikhianati musuh politik hingga mengorbankan lapan orang penyokong Presiden Mesir itu.

Ketika memberitahu Harakahdaily beliau berkata, Mursi hanya boleh dijatuhkan melalui pilihanraya dengan kehendak majoriti rakyat tanpa campur tangan asing.

“Apa lagi rakyat Mesir pada Jun 2012 telah memberikan kepercayaan kepada Mursi melalui peti undi dalam pilihanraya yang diadakan secara adil dan telus,” ujarnya.

Katanya, Ulamak PAS Kelantan berharap agar demokrasi yang telah lama lenyap dari Mesir dan kembali selepas Revolusi 25 Januari 2011 akan dihormati oleh semua lapisan rakyat.

“Semoga Mursi terus tabah berhadapan dengan pelbagai rintangan kerana ia menjadi 'sunnatullah' kepada mereka yang mahu menegakkan kebenaran,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyokongan gerakan Islam seluruhnya termasuk PAS semua peringkat mengadakan solat hajat khas buat umat Islam di Mesir dan Syria.

Hassan juga berkata, rakyat Mesir seharusnya memberi peluang pada presiden baru mereka itu cukup sepenggal pentadbirannya.

Tegasnya, tidak masuk akal dengan segala kehancuran dan kerosakan yang ditinggalkan oleh Mubarak selama 30 tahun, boleh diperbaiki oleh Mursi hanya dalam tempoh setahun.

Beliau turut mengingatkan rakyat Mesir tidak turut melatah dengan puak pembangkang yang cuba untuk mengguling kerajaan Mursi kerana mereka tidak boleh menerima kekalahan.

Usaha untuk menggulingkan Mursi telah bermula beberapa bulan lalu apabila gabungan pembangkang yang menamakan diri mereka sebagai "Barisan Penyelamat" telah menutup semua pintu rundingan dan dialog yang ditawarkan oleh Mursi dalam semua isu termasuk isu yang berkaitan kedaulatan negara sebagai isu Empangan Nahdhah Ethopia.

Usaha menolak semua dialog bersama Mursi telah mengisyhtiharkan 'perang' mereka ke atas Mursi semata-mata beliau dari Ikhwan Muslimin.

sumber

No comments: