Sunday, July 28, 2013

Pahang Akan Wartakan Pengharaman Syiah

KUANTAN: Pahang akan mewartakan fatwa pengharaman ajaran Syiah bagi mengelak ia daripada terus mengelirukan dan memesongkan akidah umat Islam di negeri ini. 

Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Tengku 
Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, pewartaan itu selaras dengan pengharaman ajaran Syiah di negeri ini yang telah diumumkan beberapa tahun lalu. "Perlu kita wartakan (fatwa pengharaman ajaran Syiah). Bagi negeri Pahang 


kita dah lama haramkan ajaran ini sebab kita amalkan ajaran Ahli Sunnah 
Wal Jamaah dan ia perlu dikekalkan. 

"Ini kerana ajaran Syiah adalah berbeza dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan 
kita tak mahu ada pihak yang kelirukan dan pesongkan akidah umat Islam dengan 
ajaran ini," titah baginda. 
Baginda bertitah demikian ketika ditemui pemberita selepas berangkat ke 
Majlis Khatam Al-Quran Rakan Muda Ramadan peringkat negeri di sini, semalam. 

Baginda mengulas keputusan kerajaan negeri Kedah yang bakal mewartakan fatwa 
anti-Syiah seperti yang diumumkan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir pada Khamis lalu. 

Baginda bertitah, ajaran itu tidak boleh dibenarkan berleluasa di negara ini 
kerana ia memberikan kesan buruk kepada umat Islam di negara-negara lain yang 
mengamalkan ajaran itu. 

Mengulas mengenai majlis berkenaan, baginda bertitah program berkenaan dijalankan sejak 17 tahun lalu dan perlu diteruskan bagi melahirkan pelapis qari 
dan qariah dari negeri ini. 

"Kita mahu ia diteruskan supaya pelapis qari dan qariah ini dapat dilahirkan 
dan mewakili negeri seterusnya ke peringkat kebangsaan. 

"Selain itu ia wajar dijadikan platform kepada umat Islam di negeri ini 
untuk meningkatkan ilmu pengetahuan Islam dan bacaan Al-Quran khususnya kepada 
sesiapa yang ingin menjadi imam," titah baginda. 

Turut berangkat, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah 
Sultan Iskandar dan anakanda, Tengku Hasanal Tengku Abdullah. - BERNAMA sumber

No comments: