Friday, July 12, 2013

PBB Digesa Bantu Rohingya

New York: Negara Islam semalam menggesa Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, berusaha menghentikan kezaliman terhadap masyarakat Muslim di Myanmar. 

Rusuhan agama di Myanmar dengan majoriti penduduknya beragama Buddha membayangi perubahan politik sejak pemerintahan tentera berakhir dua tahun lalu. 
Wakil Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke PBB berkata, badan dunia itu perlu memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar dalam isu berkenaan. Myanmar sedang berbulan madu dengan dunia. Satu-satunya masalah ialah bulan madu berkenaan menyaksikan ramai orang Islam di negara itu terbunuh, kata utusanl Arab Saudi ke PBB, Abdullah al-Mouallemi. 



Maouallemi dan wakil ahli OIC lain berunding dengan Ban untuk menuntut PBB mengambil lebih banyak tindakan bagi melindungi penduduk Islam Rohingya. 

44 orang terbunuh 

Pada Mac lalu, sekurang-kurangnya 44 orang Islam terbunuh dalam perbalahan kaum di tengah Myanmar. 
Sengketa tahun lalu di negeri barat Rakhine menyebabkan 200 orang mati dan lebih 140,000 orang hilang tempat tinggal, terutama warga Rohingya, minoriti Islam yang tidak diterima penduduk Myanmar lain. 

Wakil Djibouti ke PBB, Roble Olhaye dan ketua kumpulan OIC di PBB menggesa tindakan terhadap pembersihan etnik Rohingya. 

Myanmar gagal mengambil langkah untuk menangani keganasan. 

Apa yang kita perlukan dari PBB adalah untuk bersuara lebih lantang dan jelas, untuk didengari dunia, katanya pada sidang media bersama Mouallemi. 

Beliau dan Mouallemi berkata, pemimpin PBB itu berjanji untuk lebih bersuara lantang bagi mempertahankan penduduk Islam Myanmar. 

Kami menggesa beliau campur tangan bagi menjadikan suaranya lebih didengari. 

Hak ditindas 

Nilai asas hak kemanusiaan dan manusia ditindas oleh kerajaan sekarang dan elemen radikal Myanmar, kata wakil Arab Saudi berkenaan. 

Katanya, negara Islam mahu PBB dan kuasa besar terutama Amerika Syarikat, Russia, China, Kesatuan Eropah dan negara jiran Myanmar menentang apa yang disifatkan sebagai pembersihan etnik Rohingya. 

AFP  sumber

No comments: