Friday, July 5, 2013

Sekatan Israel halang pembangunan PALESTIN

WASHINGTON 4 Julai - Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), semalam berkata, sekatan ketat Israel ke atas sektor swasta Palestin menghalang perkembangan sektor tersebut dan membantutkan pembangunan ekonomi Palestin.
Dalam laporan selepas misi ke Tebing Barat dan Gaza, IMF berkata, pihaknya menjangka pembangunan ekonomi Palestin akan perlahan pada tahun ini kepada kira-kira 4.25 peratus dengan tiada perkembangan untuk mengurangkan kadar pengangguran yang kini pada kadar 24 peratus.
Laporan itu berkata, Palestin perlu membina sektor swasta dalam ekonomi didominasi oleh perbelanjaan pihak berkuasa, terutama Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang bergantung penuh kepada bantuan luar untuk mengatasi defisit negara.
''Kawalan dan sekatan Israel yang berterusan dalam pergerakan dalaman, eksport dan import di Tebing Barat dan juga penutupan Gaza, menghalang perkembangan sektor swasta Palestin.
''PA memerlukan sokongan berterusan daripada masyarakat antarabangsa dan kerjasama Israel serta dipacu oleh objektif bersama untuk mencapai ekonomi Palestin yang kuat.
''Tiada perkara lain yang boleh menggantikan tindakan pengurangan sekatan Israel bagi meningkatkan pembangunan sektor swasta bagi membasmi pengangguran,'' kata IMF.
Badan kewangan dunia itu berkata, PA juga terlalu melebihkan gaji dan pencen dan tidak memberi keperluan cukup kepada pelaburan dalam pendidikan dan infrastruktur awam, tindakan yang mengekang sektor swasta. - AFP

No comments: