Tuesday, July 23, 2013

Semua Negeri Perlu Warta Bendung Syiah

Alor Setar: Keputusan kerajaan Kedah yang mahu mewartakan fatwa anti-Syiah wajar dicontohi negeri lain bagi membendung penularan fahaman itu yang dikesan semakin serius, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Bekas Perdana Menteri itu berkata, usaha bagi mengekang Syiah harus diambil setiap negeri berikutan penularan fahaman itu dalam kalangan ahli Sunni di negara ini mampu memecah-belahkan dan melemahkan umat Islam. 
“Kita tak soal agama mereka tapi apa yang kita tahu apabila ada Syiah dengan Sunni... mesti ada permusuhan sehingga berperang dan berbunuh seperti di luar negara. Kalau umat Islam berpecah, persaudaraan akan hancur dan kita tidak akan hidup sebagai umat Islam lagi. 


“Justeru negeri lain patut kaji... kalau berpecah orang Islam disebabkan berbeza fahaman, mereka akan jadi lemah. Sekarang pun dah lemah disebabkan politik, kalau berpecah lagi habislah umat Islam,” katanya ketika ditemui selepas meluangkan masa bertemu peniaga, selain membeli-belah di Kompleks Pekan Rabu, di sini, semalam. 

Umum warta fatwa 

Khamis lalu, Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir, mengumumkan untuk mewartakan fatwa anti-Syiah yang kini sedang dalam peringkat deraf bagi membendung fahaman itu daripada terus berkembang di Kedah. 

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata penggabungan tiga parti politik mewakili kaum Cina di negara ini diyakini mampu mengembalikan semula sokongan kaum itu terhadap Barisan Nasional (BN). 
Katanya, penggabungan MCA, GERAKAN dan SUPP mampu memberi kelebihan kepada BN dalam mengukuhkan kedudukan parti itu dalam arena politik di negara ini, selain memudahkan urusan pentadbiran parti yang hanya bernaung di bawah satu payung. 

“Jika ketiga-tiga parti ini bergabung, kita ingat boleh dapat balik sokongan orang Cina. Kalau bersatu senang sikit, kalau tak semua (pakat) buat hal masing-masing. Selain itu, penggabungan ini juga mampu menguatkan parti dan ini akan memberi kelebihan kepada BN,” katanya. sumber

No comments: