Thursday, August 15, 2013

AS - Penghina Nabi Tak Mengaku Musuhi Islam

Los Angeles: “Saya tidak sangka filem itu boleh cetus masalah kepada orang lain atau menyebabkan pembunuhan. Saya ada kawan Muslim. Saya menentang keganasan,” kata Mark Basseley Youssef, dalang yang menghasilkan filem Innocence of Muslims.

Ia dilaporkan oleh Cable News Network (CNN), komen pertama sejak penangkapannya berikutan kekecohan yang disebabkan filem itu. 
Basseley membuat komen itu selepas dipindahkan dari penjara ke pusat pemulihan untuk menjalani baki hukuman kerana melanggar peraturan tempoh percubaan apabila menghasilkan video itu. 


Youssef dipindahkan dari pusat tahanan persekutuan sejak beberapa minggu lalu ke pusat pemulihan yang tidak diketahui lokasinya sebagai sebahagian persediaan pembebasannya, kata jurucakap Biro Penjara Persekutuan, Ed Ross.

Beliau dijangka dibebaskan 26 September depan tetapi akan kekal dalam pemerhatian pegawai untuk empat tahun, katanya.

Lelaki Kristian Koptik kelahiran Mesir berusia 56 tahun itu sebelum ini menjalani hukuman penjara kerana sabitan menipu bank pada 2010 dan dipenjara semula tahun lalu selepas mengaku melanggar syarat tempoh percubaan dikenakan ke atasnya.

Pelakon diperdaya 
Video 13 minit itu diterbitkan di California Selatan, diedarkan secara online dengan beberapa tajuk, termasuk The Innocence of Muslims, yang menghina Nabi Muhammad.

Pelakon Amerika yang terbabit berkata mereka diperdaya untuk membintangi itu yang dipercayai sepatutnya drama pengembaraan bertajuk Desert Warrior. Filem berkenaan mencetuskan demonstrasi anti-Amerika di negara Arab dan Islam.

Permulaan ketegangan pada 11 September 2012, berkebetulan dengan serangan ke atas misi diplomatik Amerika di Benghazi, Libya, yang membunuh empat orang, termasuk duta Amerika ke Libya, Christopher Stevens. 

Namun, kaitan antara serangan di Benghazi dan The Innocence of Muslims terbukti palsu.

Duta Amerika ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika itu, Susan Rice, pada awalnya berkata serangan Benghazi berpunca daripada bantahan spontan filem berkenaan. Bagaimanapun, pentadbiran Obama kemudian menyedari militan berkaitan al-Qaeda merancang dan melancarkan serangan serius manakala tiada demonstrasi di Benghazi. 
REUTERS sumber

No comments: