Sunday, August 11, 2013

FILIPINA - Tentera Gempur Pemisah

Filipina gempur pemisahGAMBAR yang diambil pada 30 Julai ini menunjukkan tentera Filipina membuat rondaan di bandar Guindulugna, wilayah Maguindanao, selepas kumpulan pemisah Pergerakan Kebebasan Islam Bangsamoro meletupkan sebuah kapal tangki dan menanam dua alat letupan di lebuh raya. - Foto AFP
Ribuan penduduk melarikan diri cari perlindungan

Manila: Tentera Filipina semalam melancarkan serangan ke atas kumpulan pemisah Pergerakan Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF) yang mengaku bertanggungjawab ke atas serangan bom terbaru yang mencederakan tujuh anggota tentera di selatan bergolak negara itu.

“Berlaku pertempuran hebat awal pagi semalam antara tentera kerajaan dengan BIFF di wilayah Aleosan di Cotabato Utara,” kata Kolonel Dickson Hermoso dari Divisyen Infantri ke-6. 
Pertempuran menyebabkan beribu-ribu penduduk di Aleosan terpaksa melarikan diri untuk mencari perlindungan di kawasan pedalaman di Nalapaan di pulau Mindanao. 


“Kami boleh mendengar bunyi tembakan dari sini. Buat masa ini kami selamat, tetapi jika keadaan meruncing, kami mungkin terpaksa berpindah ke pusat bandar,” kata ketua kampung Nalapaan, Tibungko Abdul, merujuk kepada bandar Pikit yang paling hampir.

Penduduk melarikan diri

Gabenor wilayah, Emmylou Mendoza berkata penduduk melarikan diri sepanjang malam. Setakat ini katanya, kira-kira 2,000 orang berlindung di sebuah sekolah tinggi tempatan.

Kumpulan pemisah Rabu lalu, meletupkan bom tepi jalan di wilayah Maguindanao berhampiran, mencederakan tujuh askar serta memberi amaran melakukan lebih banyak serangan. 
Ia adalah kumpulan serpihan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), yang menandatangani satu perjanjian damai dengan kerajaan.

Tentera berkata sebutir lagi bom tepi jalan dipercayai meletup awal pagi semalam di sebuah bandar lain di Maguindanao, namun tiada kematian dilaporkan.

Bom buatan sendiri kedua ditemui dan diletupkan dengan selamat di kawasan sama.

Halang hasilkan bom

Serangan sama dilancarkan lebih awal ke atas Abu Sayyaf dikaitkan Al-Qaeda di wilayah Basilan, jauh ke selatan untuk menghentikan militan daripada menghasilkan bom untuk serangan di bandar selatan lain.

Sekurang-kurangnya seorang anggota tentera dan tujuh militan terkorban dalam pertempuran di Basilan Khamis lalu.

Komander tentera tempatan Kolonel Carlito Galvez berkata, serangan bertujuan menghalang kumpulan daripada membuat lebih banyak bom untuk serangan selepas Aidilfitri, perayaan tiga hari selepas Ramadan yang bermula Khamis lalu. - AP sumber

No comments: