Sunday, August 25, 2013

INDONESIA - Ulama Bantah Pertandingan Miss World

JAKARTA: Ulama Indonesia kelmarin mengecam keputusan negara itu menjadi hos pertandingan ratu cantik bulan depan dengan menegaskan tindakan wanita mendedahkan tubuh kepada tatapan umum menyalahi ajaran Islam. 

Penaja pertandingan Ratu Dunia itu sudah pun menerima bantahan di negara paling ramai umat Islam di dunia itu. 
Malah, golongan radikal berjanji mengadakan bantahan terhadap acara itu walaupun selepas penganjur bersetuju tidak meneruskan pusingan pemakaian bikini dalam usaha mengelakkan kekecohan. 


Majlis Ulama Indonesia (MUI) kelmarin berkata, pertemuan ulama awal bulan ini memutuskan ia tidak mahu pertandingan itu diadakan di negara berkenaan. 

“Mendedahkan tubuh wanita di khalayak ramai adalah haram mengikut ajaran Islam. 

“Walaupun pemakaian bikini digugurkan, peserta masih memakai pakaian ketat dan mendedahkan tubuh mereka,” kata anggota kanan MUI, Muhyiddin Junaidi, kepada wartawan di sini. 

Pertubuhan itu juga menggesa umat Islam di negara itu, yang merangkumi 90 peratus daripada 240 juta penduduk, tidak menonton pertandingan itu di televisyen. 
“Pertandingan memperdaya rakyat dengan menyatakan ia bukan hanya pertandingan kecantikan fizikal tetapi juga ingin menonjolkan kecantikan dalaman,” kata pemimpin kedua MUI, Amirsyah Tambunan. 

Junaidi berkata, MUI menunjukkan dengan jelas keputusannya, dan terpulang kepada pihak berkuasa sama ada mereka memutuskan untuk membatalkan pertandingan itu. 

Walaupun ramai penduduk negara itu mengamalkan Islam secara sederhana, golongan bersuara lantang berjaya dalam membuatkan pertandingan seperti itu dibatalkan pada masa lalu. 

Tahun lalu, sensasi pop Lady Gaga terpaksa membatalkan konsert apabila golongan Islam mengancam membakar lokasi program dan mengkritiknya kerana cuma memakai coli dan seluar dalam. 

Lebih 130 ratu dari seluruh dunia akan bertanding dalam pertandingan kali ini dengan sebahagian pusingan diadakan di Bali dan acara akhir di Bogor, pinggir Jakarta. 

Jun lalu, penganjur mendedahkan peserta tidak akan memakai bikini ketika pusingan fesyen pantai, yang diadakan di Bali sebaliknya memakai pakaian lebih sopan seperti sarung tradisional. - AGENSI sumber

No comments: