Wednesday, August 14, 2013

Jenayah di MALAYSIA - Jangan Sampai Jadi Bandar Koboi

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Nasrudin Hassan mencadangkan supaya kerajaan segera melaksanakan Syariat Islam di negara tercinta ini ekoran jenayah bunuh yang semakin berleluasa.

“Rakyat perlu bangkit mendesak. Jangan tunggu Malaysia jadi seperti Mexico atau Bandar Koboi,” tulisnya di facebook.

DPPM melihat insiden jenayah tembak mati, letupan bom sehingga mengorbankan atau mencederakan orang lain seperti yang berlaku sehari dua ini menguji kesabaran rakyat terhadap kredibiliti kerajaan khususnya Menteri Dalam Negeri yang baharu, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.

“Apakah suatu kebetulan jenayah seumpama ini berlaku di zamannya ketika beliau baharu sahaja menjawat jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri,” tanya Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil

Dalam satu kenyataan, beliau berkatar rakyat menanti dengan penuh sabar apakah jalan penyelesaian terhadap isu jenayah berat.

Katanya, kejadian itu mewujudkan suatu kebimbangan di kalangan rakyat terhadap keselamatan mereka.

“Jenayah berat ini pula bukan hanya berlaku di kawasan sunyi, malah ia berlaku di kawasan awam. Bahkan jenayah sudah semakin menghampiri rumah mereka dan boleh berlaku bila-bila masa serta di mana sahaja,” katanya.

Isu itu, kata beliau seharusnya diselesaikan dengan segera.

Katanya, Menteri Dalam Negeri, yang diamanahkan menjaga Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang di bawahnya agensi penguatkuasa seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM) perlu mengambil langkah segera mencari punca masalah serta penyelesaiannya.

Menruutnya, isu yang ditimbulkan seperti bagaimana senjata api boleh mudah diperolehi, dimiliki oleh segelintirrakyat, dari mana puncanya, sejauh mana rangkaian kongsi gelap, samseng, serta penjenayah beroperasi di negara ini perlu kepada jawapan yang konkrit.

Katanya, selagi kes-kes jenayah berat tidak dapat diselesaikan atau ditangani dengan tegas dan cekap, selagi itulah keupayaan pasukan keselamatan termasuk menterinya dipersoalkan.

“Jika berlaku lagi jenayah seumpama ini, bererti rakyat semakin ketakutan untuk keluar dari rumah mereka sendiri. Ia fenomena yang tidak sihat, menggelisahkan dan mengganggu ketenteraman awam,” ujarnya lagi.

Justeru, kata beliau adalah lebih baik dengan berfikir panjang dan demi kemaslahatan umat, Menteri Dalam Negeri mengambil langkah segera termasuk bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku serta sanggup mengundurkan diri dari karier beliau.

“Sebagai ketua kerajaan dan agensi yang berada di bawahnya, beliau perlu bertanggungjawab terhadap setiap nyawa dan darah rakyat yang terkorban, anggota pasukannya yang terkorban dan dikerahkan bagi membentengi rakyat di samping jutaan duit yang diperuntukkan bagi membiayai operasi demi operasi yang dijalankan,” katanya. sumber

No comments: