Saturday, August 10, 2013

KASHMIR - Pilu di Aidil Fitri

Aidilfitri  di Kashmir piluSebuah keluarga pelarian Kashmir Nasima Bibi (kiri) bersama cucu dan suaminya Mohammed Yasin di kediaman mereka di Kem Pelarian Mannak Payyan di pinggir Muzaffarabad Pakistan. Beribu-ribu keluarga Islam di Kashmir terpisah daripada keluarga masing-masing berikutan perpecahan wilayah Kashmir dengan sebahagian ditadbir India dan sebahagian lagi ditadbir Pakistan.
Muzaffarabad: Bagi beribu-ribu keluarga Islam di Kashmir yang terpisah antara wilayah ditadbir India dan kawasan diperintah Pakistan, Aidilfitri tahun ini terus disambut dalam suasana pilu, berikutan hubungan kedua-dua negara semakin tegang. 

Keluarga yang terpisah sejak beberapa dekad lalu, amat jarang bertemu, manakala rundingan damai buntu berikutan serangan merentasi sempadan, menyebabkan harapan semakin pudar. 
Kedua-dua negara berjiran yang mempunyai kuasa nuklear itu bertempur dalam dua daripada tiga peperangan merebut wilayah Himalaya dikuasai penduduk Islam yang dituntut sepenuhnya oleh kedua-dua negara tetapi dibahagikan sepanjang Garisan Kawalan (LoC). 


Menangis teringat keluarga 

Aidilfitri adalah masa untuk baju baru, manisan dan memberi duit raya kepada kanak-kanak tetapi bagi banyak keluarga, masalah kewangan tidak mengizinkan mereka meraikannya. Sebaliknya mereka meraikan Aidilfitri dengan mengingati orang tersayang yang berada di seberang sempadan. 

“Saya rindukan ibu dan adik beradik saya sepanjang masa tetapi paling terasa ketika Aidilfitri. Saya menangis teringat mereka di sini dan mereka menangis teringatkan saya di sana. Tiada harapan untuk kami bersatu semula dalam kehidupan ini,” kata Uzhair Mohammad Ghazali, 38, di kem pelarian di luar Muzaffarabad, bandar utama di Kashmir yang ditadbir Pakistan. 

Beliau melarikan diri ketika India bertindak keras ke atas pemisah di Kashmir yang ditadbir negara itu ketika berusia 15 tahun. 
Sejak tiba di Pakistan, beliau berkahwin dan mempunyai enam anak tetapi selain berjalan ke arah lintasan sempadan untuk merenung mereka menerusi kawat berduri, Ghazali tidak dapat melihat keluarganya lagi. 

Tekanan hebat 

Kadang-kadang mereka bercakap menerusi telefon dan Ghazali melihat adik perempuannya selepas Aidilfitri 2010 apabila mereka berdiri di tebing sungai bertentangan berhampiran pusat lintasan Tetwal dan saling merenung sesama sendiri. 

Beribu-ribu orang maut sejak kumpulan pemisah bangkit menentang tentera India pada 1989, berjuang mendapatkan kemerdekaan untuk Kashmir atau bergabung dengan Pakistan. 

Aidilfitri disambut dengan India di bawah tekanan hebat supaya menangguhkan cadangan rundingan damai dengan Pakistan selepas lima anggota tenteranya maut dalam serangan merentasi sempadan Isnin lalu. 

India berkata, tentera khas Pakistan terbabit dalam serangan dan memberi petanda mengambil tindakan ketenteraan lebih keras. - AFP sumber

No comments: