Haram Ikhwan, tamat darurat
Anggota Kabinet Mesir bincang langkah seterusnya

Kaherah: Anggota kabinet kerajaan Mesir akan membincangkan langkah menamatkan krisis politik negara itu termasuk mengharamkan pergerakan Ikhwanul Muslimin dan menamatkan perintah darurat. 
Timbalan Perdana Menteri, Ziad Bahaa el-Din, menggesa perintah darurat segera ditamatkan, semua parti politik kembali dibenarkan bergerak dan jaminan diberi kepada hak asasi manusia termasuk hak berhimpun. 


Ikhwanul Muslimin, bagaimanapun, berikrar meneruskan bantahan besar-besaran sehingga bekas Presiden Mohamed Morsi yang digulingkan 3 Julai lalu.

Tidak diketahui sejauh mana cadangan Ziad akan mendapat sokongan.

Ketika menyalahkan Ikhwan atas petumpahan darat itu, Perdana Menteri Hazem el-Beblawi menyarankan supaya pergerakan berusia 85 tahun ini diharamkan sekali gus akan menyebabkannya bergerak secara rahsia.

“Tidak akan tolak ansur dengan mereka yang menyebabkan pertumpahan darah,” kata Beblawi kepada wartawan, semalam. 
Terus bertugas

Ziad Bahaa terus bertugas meskipun Timbalan Presiden, Mohamed ElBaradei meletak jawatan disebabkan kekerasan digunakan ke atas keganasan penunjuk perasaan sejak Rabu lalu.

Cadangannya tidak membincangkan nasib Morsi atau menyarankan pengampunan kepada pemimpin Ikhwan yang ditahan.

Ketika Morsi memerintah lebih setahun, tuduhan tidak cekap dan cubaan membolot kuasa mencemarkan pentadbirannya sedangkan Ikhwan sudah 30 tahun menentang Hosni Mubarak dan melakukan kerja amal.

Pemimpin pergerakan itu, bagaimanapun, menuduh tentera sengaja mensabotaj pemerintahan Morsi.

Lebih 800 terbunuh dalam beberapa pertempuran antara penyokong Morsi dan anggota keselamatan sejak Rabu minggu lalu.

Pihak berkuasa dilaporkan meningkatkan keselamatan di sekitar mahkamah menjelang perhimpunan baru penyokong Morsi.

Kereta perisai dan anggota tentera di tempatkan di sekitar bangunan Mahkamah Perlembagaan di selatan Kaherah.

Ikhwan menyatakan, ia merancang untuk mengadakan protes di depan bangunan itu.
Sejak malam kelmarin tentera mengadakan beberapa sekatan jalan dan memeriksa kenderaan sama ada membawa senjata api.

“Selagi pertumpahan darah berlaku, pelawat tidak akan datang dan pelabur asing tidak akan membuat pelaburan di Mesir,” kata seorang pegawai kanan syarikat saham.

Sejak protes meletus Jun lalu, lebih 1,000 orang dianggarkan maut di Mesir. - AGENSI sumber