• Foto
    Naglaa (kiri) menyampaikan ucapan di hadapan ribuan penyokong Morsi yang berhimpun di Masjid Rabaah al-Adawiya, di pinggir Kaherah, semalam.
  • Foto
    Anggota Ikhwanul Muslimin dan penyokong Morsi meneruskan bantahan di Masjid Rabaah al-Adawiya di pinggir Kaherah pada Aidilfitri.
Minta penunjuk perasaan, anggota Ikhwanul Muslimin teruskan bantahan

Kaherah: Isteri kepada Presiden Mesir yang digulingkan, Mohamed Morsi, Naglaa Mahmoud meminta penyokong suaminya meneruskan bantahan, walaupun diberi amaran pasukan keselamatan akan ‘membersihkan’ lokasi tunjuk perasaan mereka.

Naglaa yang muncul pada hari pertama umat Islam menyambut Aidilfitri sejak rampasan kuasa tentera 3 Julai lalu juga berikrar bahawa suaminya akan kembali memegang jawatan ‘dengan izin Allah.’ 
Naglaa yang bertudung labuh bercakap kepada orang ramai yang berhimpun di Dataran Masjid Rabaah al-Adawiya di bandar Nasr di pinggir Kaherah, turut membaca beberapa petikan ayat suci al-Quran sebelum menegaskan bahawa Mesir adalah negara Islam. 


“Kita adalah pemenang,” kata Naglaa sambil menambah, penunjuk perasaan akan dapat menyelesaikan masalah mereka.

Media Mesir pada mulanya beranggapan bahawa Naglaa ditahan bersama suaminya di lokasi yang dirahsiakan bersama salah seorang anak mereka.

Sambut gembira ketibaan Naglaa

Penunjuk perasaan di Bandar Nasr menyambut gembira ketibaan beliau ke pentas sementara untuk menyampaikan ucapan. 
Naglaa bagaimanapun, tidak menyatakan di mana beliau berada sejak rampasan kuasa berlaku.

Morsi ditahan bersama beberapa pembantu kanannya, dengan sebahagian mereka sudah dipindahkan ke sebuah penjara di selatan Kaherah sejak beberapa hari lalu.

Mereka berdepan dakwaan termasuk mencetuskan keganasan sehingga menyebabkan pertempuran jalanan dan kematian. Anak Morsi juga menyertai tunjuk perasaan di Bandar Nasr dan mendesak agar bapa mereka dibebaskan.

Masjid Rabaah al-Adawiya adalah salah satu daripada dua lokasi tunjuk perasaan dan bantahan kumpulan Ikhwanul Muslimin dan penyokong mereka.

Penunjuk perasaan mendesak pelantikan semula Morsi, pelaksanaan perlembagaan dirangka di bawah kepemimpinan beliau dan pelantikan semula anggota majlis perundangan yang dibubarkan.

Pengkritik percaya Ikhwanul Muslimin enggan mengadakan sebarang rundingan dengan kerajaan sementara dan ini diramal mencetuskan pertumpahan darah dengan pasukan keselamatan. - AP