Wednesday, August 28, 2013

MESIR - Kumpulan Pejuang Tawar Rundingan

Kaherah: Dua kumpulan pejuang Mesir, menawarkan usaha membatalkan bantahan jalanan jika kerajaan bersetuju mengurangkan tekanan ke atas pertubuhan Ikhwanul Muslimin, lapor media. 

Inisiatif yang dikemukakan kumpulan Gamaa Islamiya dan pergerakan Jihad Islam bermatlamat membawa tentera dan kumpulan Ikhwanul Muslimin ke meja rundingan. Morsi digulingkan pada 3 Julai lalu. 
Cadangan disuarakan selepas tentera menahan beratus-ratus pemimpin dan anggota Ikhawanul Muslimin dalam keganasan paling buruk di negara itu, menyusul tindakan tentera memusnahkan dua khemah penunjuk perasaan pada 14 Ogos lalu. 


Mula rundingan 

Perbicaraan dimulakan terhadap pemimpin tertinggi Ikhwanul Muslimin, Mohammed Badie dan dua tokoh kanan pergerakan itu Ahad lalu, atas dakwaan menyebabkan pembunuhan penunjuk perasaan anti-Morsi pada 30 Jun, ulang tahun pelantikan beliau apabila penduduk Mesir mengadakan demonstrasi yang menuntut peletakan jawatannya. 

Pengkritik berkata, cadangan itu mencerminkan keretakan di dalam pakatan Islam diketuai Ikhwanul Muslimin, dengan ramai pemimpinnya dipenjarakan atau melarikan diri. 

Mereka mahu mengelak tekanan yang dikenakan ke atas kumpulan mereka dan meninggalkan Ikhwanul Muslimin yang semakin lemah. Semua orang mencari jalan keluar tetapi sudah terlalu lewat, kata wartawan veteran dan penganalisis, Makram Mohammed Ahmed. 
Letak tiga syarat 

Penyokong Morsi sebelum ini menegaskan tiga langkah yang perlu dilakukan tentera iaitu mengembalikan kuasa kepada Morsi, menarik balik penggantungan Perlembagaan yang dirangka pergerakan itu dan meneruskan majlis perundangan di bawah kepemimpinan Morsi, sebagai tiga syarat untuk berunding. 

Bagaimanapun, pemimpin Jihad Islam, Mohammed Abu Samra, berkata cadangan gencatan senjata itu belum dimuktamadkan. 

Kami membuka jalan untuk berunding. 

Kami tidak boleh mengadakan rundingan ketika berada di tengah pembunuhan dan kekerasan, katanya sambil menambah kumpulannya menghulurkan tangan untuk mengelakkan konfrontasi berdarah dengan tentera, yang dituduh memfitnah Ikhwanul Muslimin di media dan masjid. 
AP sumber

No comments: