Tuesday, August 13, 2013

MESIR - Mursi Ditahan 15 Hari Lagi

Morsi ditahan  15 hari lagiAnggota Ikhwanul Muslimin dan penyokong Presiden Mohamed Morsi memulakan perarakan bagi membantah rancangan kerajaan untuk menyuraikan penunjuk perasaan di Kaherah, semalam. Gambar sisipan menunjukkan seorang penunjuk perasaan tidur di dalam khemah di Masjid Rabaa Al-Adawiya di pinggir Kaherah. - Foto AP/AFP
Polis tangguh surai penunjuk perasaan elak pertumpahan darah

Kaherah: Badan kehakiman Mesir semalam melanjutkan tempoh tahanan presiden yang digulingkan Mohamed Morsi, selama 15 hari lagi, ketika beribu-ribu penyokongnya berarak di seluruh Kaherah membantah rancangan polis menyuraikan penunjuk perasaan. 
Pegawai Kehakiman berkata tempoh tahanan pemimpin itu terpaksa dilanjutkan bagi membolehkan siasatan dijalankan membabitkan kerjasama beliau dengan pergerakan Hamas yang mentadbir Semenanjung Gaza. 

Tempoh tahanan Morsi terpaksa dilanjutkan bagi membolehkan siasatan dijalankan membabitkan kerjasama beliau dengan Hamas yang mentadbir Semenanjung Gaza” Pegawai Kehakiman Mesir

Morsi digulingkan 3 Julai lalu dan ditempatkan di sebuah pusat tahanan pada 26 Julai, berikutan hubungannya dengan kumpulan berkenaan.

Polis akan menyiasat sama ada beliau bekerjasama dengan Hamas dalam serangan ke atas balai polis dan penjara pada awal 2011, sehingga menyebabkan banduan dan tahanan politik berjaya meloloskan diri ketika kebangkitan untuk menggulingkan Presiden Hosni Mubarak.

Sementara itu, polis Mesir menangguhkan tindakan menyuraikan penunjuk perasaan oleh beribu-ribu penyokong presiden negara itu yang digulingkan Mohamed Morsi di dua lokasi utama semalam.

Sumber keselamatan polis sepatutnya memulakan tindakan menyuraikan mereka pada subuh semalam di dua kawasan tunjuk perasaan bagi menamatkan bantahan sejak enam minggu lalu, yang mendesak pelantikan semula pemimpin itu. 
Tidak dapat dipastikan sama ada polis akan meneruskan tindakan yang bakal mencetuskan pertumpahan darah dengan penunjuk perasaan pada sebelah petang.

Pegawai kanan kerajaan Mesir, diplomat Arab dan Barat, sebelum ini mendesak tentera mengelak daripada menggunakan kekerasan dalam usaha mengakhiri krisis politik yang memecah-belahkan negara dengan 84 juta penduduk itu.

Kelmarin, sebuah akhbar tempatan menyatakan, antara 3,000 hingga 5,000 penunjuk perasaan mungkin terbunuh jika pihak polis meneruskan tindakan mereka.

Tekanan hebat

Bagaimanapun, Ketua Tentera, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi yang menggulingkan Morsi, dilaporkan menerima tekanan hebat daripada pegawai tentera berpendirian keras supaya mengakhiri bantahan di ibu negara Mesir itu.

Satu sumber keselamatan berkata, tindakan ditangguhkan selepas maklumat mengenainya dibocorkan kepada media, manakala semakin ramai penunjuk perasaan tiba di lokasi bantahan selepas mendapat berita mengenai rancangan polis.

Sementara itu penyokong Presiden Morsi menggesa seluruh rakyat Mesir mengadakan bantahan jalanan untuk menghalang tindakan polis ke atas mereka.

Sebuah kumpulan pro Mosri termasuk Ikhwanul Muslimin, menyeru perhimpunan di seluruh negara menentang tentera yang menggulingkan presiden pertama dilantik secara demokrasi itu.

“Kami menyeru seluruh rakyat Mesir dari semua wilayah supaya berarak hari ini dan berkumpul di mana saja,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Kumpulan itu turut mengisytiharkan rancangan mengadakan perarakan sejuta orang esok bagi menentang, apa yang mereka sifatkan sebagai rampasan kuasa tentera. - REUTERS sumber

No comments: