Friday, August 16, 2013

MESIR - Selepas Pembunuhan Beramai-ramai

Mesir: Penduduk Mesir, mula keluar dari kediaman mereka selepas perintah berkurung dikuatkuasakan sepanjang malam berikutan keganasan dalam usaha pasukan keselamatan menyuraikan penyokong presiden yang digulingkan Mohamed Morsi, sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 525 orang.

Kerajaan sementara yang disokong tentera menguatkuasakan perintah darurat dan perintah berkurung selama sebulan, di Kaherah serta 13 wilayah lain. 
Sejurus selepas waktu perintah berkurung berakhir pagi semalam, lampu lalu lintas kembali berfungsi manakala jalan raya yang terhalang sejak beberapa minggu lalu berikutan tunjuk perasaan, dibuka semula. 


Pegawai kementerian kesihatan berkata, sekurang-kurangnya 525 orang terbunuh di seluruh negara, termasuk 43 anggota keselamatan.

Sumber Ikhawanul Muslimin berkata 2,200 orang terbunuh manakala lebih 10,000 lagi cedera.

Media Mesir pula menyiarkan gambar penyokong Morsi mengacukan senjata dan melempar batu ke arah polis pada pertempuran sebelum itu.

“Mimpi ngeri Ikhwanul Muslimin berakhir,” kat muka depan akhbar harian Al-Akhbar. 
“Pertempuran terakhir Ikhwanul Muslimin,” kata akhbar Al-Shorouk pula.

Keganasan terburuk

Keganasan kelmarin adalah yang terburuk sejak 2011 ketika tunjuk perasaan bagi menggulingkan pemerintahan Presiden Hosni Mubarak.

Sementara itu kerajaan Mesir menerima tamparan hebat apabila Naib Presidennya, Mohamed ElBaradei, meletak jawatan sebagai membantah tindakan keras pasukan keselamatan ke atas penunjuk perasaan.

Perdana Menteri sementara, Hazem el-Beblawi, berkata dalam ucapan yang disiarkan secara langsung ia adalah hari sukar dan kesal dengan pertumpahan darah tetapi tidak meminta maaf kerana bertindak ke atas penyokong Morsi, berkata mereka sudah diberi amaran supaya meninggalkan kawasan itu dan beliau juga sudah cuba menggunakan orang tengah untuk berunding.

Pemimpin Ikhwanul Muslimin menggelar tindakan itu sebagai pembunuhan beramai-ramai. Sebahagian mereka ditahan apabila polis menyerbu dua kawasan perhimpunan penunjuk perasaan, beratus-ratus anggota pertubuhan ditahan dan masa depan pergerakan itu masih tidak pasti.

Dibantu helikopter, polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan jentolak untuk melepasi halangan di dua kem bantahan di beberapa kawasan berbeza di Kaherah, yang menjadi tempat penyokong Morsi berkhemah sejak beliau disingkirkan oleh rampasan kuasa tentera pada 3 Julai.

Berjaya tawan khemah

Kawasan kem lebih kecil berhampiran Universiti Kaherah di Gaza berjaya ditawan dengan segera tetapi mengambil masa kira-kira 12 jam untuk polis mengambil alih kawasan utama berhampiran Masjid Rabaah al-Adawiya di Bandaraya Nasr yang bertindak sebagai pusat perhimpunan penyokong Morsi.

Selepas khemah dirobohkan, pertempuran jalanan meletus di Kaherah dan beberapa bandar raya di seluruh Mesir. Bangunan kerajaan dan balai polis diserang, jalan raya disekat dan gereja dibakar, kata Menteri Dalam Negeri, Mohammed Ibrahim.

Tiga wartawan ialah antara yang maut iaitu jurukamera stesen penyampai Britain Sky News, Mick Deane, 61; wartawan akhbar Gulf News, Habiba Ahmed Abd Elaziz, 26, dan penulis akhbar Al Akhbar, Ahmed Abdel Gawad. 

Kesatuan wartawan, Egyptian Press Syndicate, berkata ia tiada maklumat bagaimana Gawad menemui ajal. 
AP/AFP sumber

No comments: