Monday, August 5, 2013

PAKISTAN - 30 Terkorban dalam Banjir

Islamabad: Sekurang-kurangnya 30 orang terkorban selepas banjir melanda beberapa kawasan di Pakistan berpunca daripada hujan lebat yang turut memutuskan bekalan elektrik di beberapa kawasan. 
Di Karachi, 16 mangsa termasuk wanita dan kanak-kanak maut dan beberapa lagi cedera selepas kawasan mereka dinaiki air. 


Di Khyber Pakhtunhwa, 13 penduduk termasuk kanak-kanak maut dan lebih 25 lagi cedera selepas hujan menyebabkan banjir kilat. 

Laporan menyatakan, hujan berterusan menyebabkan banjir kilat di banyak kawasan di wilayah Balochistan, Khyber Pakhtunkhwa dan selatan Punjab. 

Beberapa penduduk maut selepas banyak kampung dinaiki air, sekali gus memusnahkan rumah, jalan raya dan tanaman. 

Hujan lebat di utara Pakistan juga menyebabkan banjir apabila air sungai dan longkang melimpah. Ramai yang terkorban selepas beratus-ratus rumah dihanyutkan air. 
Jabatan Kaji Cuaca Pakistan melaporkan, banjir paras pinggang selepas air sungai Sindh, Jhelum dan Chenab melimpah. 

Sementara itu, perintah darurat diisytiharkan selepas banjir melanda daerah Jhal Magsi, Balochistan, lapor Daily Times. 

Sungai Mola melimpah 

Banjir berlaku kerana air naik melimpahi Sungai Mola di Jhal Magsi. Pegawai kanan daerah berkata, penduduk sudah dipindahkan ke tempat lebih tinggi. 

Bot penyelamat digunakan untuk memindahkan mereka daripada kawasan banjir. 

Penduduk Nowshera juga diarah berjaga-jaga selepas air semakin naik dan menuju ke tengah bandar selepas menjejaskan banyak kawasan Khyber Pakhtunkhwa. 

Meskipun paras air turun di daerah Budhni Nullah, lalu lintas belum dapat melalui jalan Charsadda. 

Selain itu, air semakin deras ketika melalui Warsak, membahayakan penduduk yang tinggal dekat tebing Sungai Kabul. - AGENSI sumber

No comments: