Monday, August 5, 2013

TUNISIA - Tentera Belum Terpengaruh dengan TIndakan Puak Sekular

Belum lagi reda pergolakan rampasan kuasa di Mesir, kini  golongan sekular yang disokong oleh Barat sedang berusaha untuk mengkhianati kerajaan Islam yang didukung oleh gerakan Islam Ennahdah pimpinan Rashid Ghannouchi.

Bagaimanapun, tidak seperti di Mesir, tentera Tunisia masih tidak campur tangan politik, sementara majoriti rakyat Tunisia menyokong kerajaan Islam. Malah rakyat Tunisia mengadakan perhimpunan besar-besaran yang disertai oleh Rashid Ghannouchi sendiri untuk menyokong kerajaan. Ternyata Ennahdah masih popular dan disokong kuat oleh majoriti rakyat negaranya.

Lebih 200,000 orang telah berhimpun di Dataran Kasbah, di ibu negara Tunisia kelmarin untuk menyokong kerajaan yang ada. Bagaimanapun
pembangkang yang terdiri dari golongan sekular pro-Barat bersama  segolongan kecil pelampau Islam mengadakan bantahan berterusan, menuntut kerajaan Islam yang didukung oleh Ennahdah meletakkan jawatan.

Perhimpunan besar-besaran yang menyokong kerajaan pula diadakan sebagai jawapan kepada desakan pembangkang yang berterusan supaya kerajaan mletakkan jawatan. Pihak pembangkang mengadakan demonstrasi hampir setiap hari.
Mereka yang berhimpun menyokong kerajaan meneriakkan slogan, “Rakyat Tunisia mahukan Ennahda, Allah Maha Besar.” Menunjukkan solokongan kepada kerajaan yang didukung oleh Ennahdah.

Bantahan golongan pembangkang ini berikutan pembunuhan seorang tokoh pembangkang, ahli parlimen, Mohamed Brahmi, yang juga ahli  parti nasionalis Arab, Popular Front Party, pada 25 Julai lalu. Sebelum itu terjadi pembunuhan ketua parti tersebut, Chokri Belaid Februari lalu.

Anggota polis telah mengawal keadaan dan tidak kelihatan sebarang kegiatan tentera dan setakat ini belum ada korban jiwa. Bagaimanapun pembangkang dikatakan akan meneruskan bantahan.

Revolusi Jasmin oleh Ennahdah di Tunisia lebih dua tahun lalu dianggap sebagai ‘Arab Spring’ demokrat yang berjaya menggulingkan diktator Zine el-Abidine Ben Ali. Bagaimanapun golongan sekular dan Salafi menentang kerajaan yang didukung oleh Ennahdah.

Berbeza dengan Mesir, setakat ini pihak tentera tidak campur tangan dan tidak mahu terlibat dalam pergeseran politik di Tunisia itu. Rashid Ghannouchi memberitahu perhimpunan yang menyokong kerajaannya: "Mereka yang berfikir bahawa senario yang berlaku di Mesir akan juga berlaku di Tunisia adalah salah.Tunisia adalah inspirasi bersama dengan revolusinya dan tidak akan mengimport rampasan kuasa dari mana-manapun,” katanya.

Sebuah pakatan pembangkang telah menuntut pengunduran kerajaan yang didukung oleh Ennahdah dan membubarkan Dewan Perlembagaan Nasional. Pembangkang merancang demonstrasi Selasa ini bertepatan enam bulan pembunuhan Belaid. Ennahdah menolak tuntutan supaya kerajaan meletak jawatan kerana berlaku pembunuhan Belaid dan Brahimi serta gagal menyekat gerakan Islam radikal.

Bagaimanapun, dalam sidang medianya Sabtu lalu, Perdana Menteri Ali Larayedh menekankan mengenai perlunya dipulihkan perpaduan kebangsaan dan bertegas bahawa kerajaannya tidak akan meletakkan jawatan.

Partinya yang didukung oleh Ennahdah memenangi pilihan raya umum Oktober 2011 setelah berlaku Revolusi Jasmin yang menggulingkan diktator Zine el-Abidine Ben Ali. Beliau telah mencadangkan supaya diluaskan lagi kerajaan campurannya meliputi pelbagai golongan masyarakat.

Pembangkang menuduh Ennahdah ‘berlembut’ dengan golongan Islam radikal yang melancarkan serangan hingga terbunuh Mohamed Brahmi dan Chokri Belaid in. Tetapi menurut Perdana Menteri Ali Larayedh, pembunuh kedua-dua tokoh pembangkang itu sudah dapat ditangkap oleh pihak keselamatan.

Pihak tentera Tunisia kini sedang memburu militan di pergunungan Chambi yang bersempadan dengan Algeria selepas serangan militan yang membunuh seorang tentera minggu lalu. Tentera kemudian telah membunuh 10 anggota militan di pergungan tersebut.

Tunisia adalah negara utara Afrika dengan presidennya Moncef Marzouk. Apabila gerakan Islam Ennahdah mengambil alih kuasa setelah Revolusi Jasmine, usaha pertamanya ialah memulihkan demokrasi, menegakkan keadilan dalam semua bidang kehidupan, memulihkan ekonomi dan membaiki kehidupan rakyat.

Menurut Rashid Ghannouchi usaha ini ialah untuk memenuhi tuntutan rakyat Tunisia sendiri yang selama ini menderita di bawah diktator Zine el-Abidine Ben Ali, hingga seorang seorang peniaga kecil di tepi jalan di Tunisia membakar diri kerana dizalimi oleh pemerintah waktu itu. Peristiwa itu akhirnya mencetuskan  revolusi rakyat yang dipanggil Revolusi Jasmin yang menggulingkan Ben Ali.

Sepanjang pemerintahan yang didukung oleh Ennahdah, bukan tidak ada masalah, terutama sabotaj dan penentangan dari golongan sekular yang menolak Ennahdah. Dalam masa yang sama golongan pelampau Islam yang bersikap keras juga menentang Ennahdah yang bersikap sederhana dan berusaha mengelakkan pertembungan dengan Barat, terutama Amerika.

Namun oleh kerana Tunisia bukan jiran Israel seperti Mesir, maka kedudukan politik dan pertahanan Tunisia tidak sama dengan Mesir. Bagaimanapun Barat, khususnya Amerika, sentiasa tidak selesa dengan Ennahdah, betapapun sederhananya gerakaan Islam Tunisia itu.

Selama 20 tahun Rashid Ghannouchi menjadi orang pelarian politik dan menetap di London serta beberapa negara Eropah dan pulang selepas Revolusi Jasmine. Beliau antara pencetus pemikiran demokrasi Islam yang bersikap terbuka dan menerima pelbagai idea, hasil dari pendedahannya di dunia Barat dan Timur serta berusaha mengharmonikannya dengan syariat Islam yang menjadi asas kukuh pegangannya.    

Seperti Perdana Menteri Turki, Recep Toyeeb Erdogan, Ghannouchi mengemukakan pendekatan baru politik demokrasi Islam dan setakat ini memberikan harapan cerah. sumber

No comments: