Monday, September 9, 2013

AS Rancang Serang SYRIA 3 Hari

Paris: Amerika Syarikat merancang serangan tiga hari terhadap lebih 50 sasaran di Syria meskipun penduduknya menentang, Kongres ragu-ragu manakala sekutu Eropah menunggu laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai serangan senjata kimia di Damsyik.

Perancang perang di Jabatan Pertahanan bercadang serangan awal membabitkan pelancaran peluru berpandu diikuti serangan terhadap sasaran yang tidak kena atau belum roboh selepas diserang, lapor akhbar Los Angeles Times.
Dua pegawai tentera Amerika memberitahu akhbar itu bahawa Rumah Putih meminta senarai lebih daripada 50 sasaran.


Ia sebahagian usaha menjejaskan kekuatan tentera Syria di bawah pimpinan Presiden Bashar al-Assad.

Obama sedia ucapan

Presiden Barack Obama bersiap sedia melakukan ucapan negara malam esok. Ramai ahli perundangan termasuk dalam kalangan Demokrat, membantah serangan dilakukan.
Orang awam Amerika juga tidak yakin dengan hujah Obama bahawa tindakan diperlukan untuk menghalang penggunaan senjata kimia pada masa akan datang.
Setiausaha Negara Amerika John Kerry, yang bertemu dengan lebih 24 Menteri Luar Kesatuan Eropah (EU) menegaskan, sokongan antarabangsa untuk mengambil tindakan keras ke atas rejim Bashar semakin meningkat.

Kerry bersetuju memberi maklumat tambahan kepada mereka yang masih belum yakin bahawa Bashar mendalangi serangan dalam mesyuarat tidak rasmi di ibu pejabat EU di Vilnius, Lithuania.

EU mengecam serangan senjata kimia namun tidak menunjukkan sokongan kepada apa bentuk tindakan.

EU gesa laporan PBB

EU juga menggesa Amerika melewatkan sebarang tindakan ketenteraan mungkin sehingga penyiasat PBB membuat laporan.

Rakyat Eropah masih berbelah bagi sama ada tindakan ketenteraan jalan berkesan.
Parlimen Britain mengundi menentang tindakan ketenteraan. Perancis bersedia bertindak minggu lalu namun membatalkannya apabila Obama mengisytiharkan beliau akan meminta sokongan Kongres.

Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan British buat kali pertama mengakui bahan kimia dihantar kepada Syria menerusi lima lesen eksport kepada dua syarikat negara itu.

Ia mungkin digunakan untuk menghasilkan racun saraf yang mengorbankan 1,400 orang, dedah akhbar The Mail on Sunday.

Antara Julai 2004 dan Mei 2010, kerajaan mengeluarkan lima lesen eksport kepada dua syarikat, membenarkan mereka menjual sodium florida kepada Syria yang digunakan untuk membuat gas sarin.

Penjualan itu jelas satu pelanggaran jelas protokol antarabangsa dalam perdagangan sebatian berbahaya yang dikutuk sebagai amat tidak bertanggungjawab.
Jualan itu dibuat ketika Bashar disyaki mengumpul senjata kimia. Firma United Kingdom itu menghantar sodium florida kepada sebuah syarikat kosmetik Syria.

AGENSI sumber

No comments: