Wednesday, September 11, 2013

FILIPINA - MNLF Berperisaikan 180 Penduduk

Zamboanga: Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) pimpinan Nur Misuari menjadikan 180 penduduk Zamboanga sebagai perisai manusia, selain berbalas tembakan dengan askar kerajaan dengan beberapa kediaman terbakar ketika serangan di bandar selatan Filipina masuk hari kedua.

Sementara itu, anggota kanan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) mendedahkan, MNLF melancarkan serangan di Zamboanga sebagai memprotes rundingan damai pusingan ke-40 selama 10 hari antara perwakilan kerajaan Filipina dan MILF di Kuala Lumpur, mulai semalam. 
Jejas rundingan 


Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Politik MILF, Ghadzali Jaafar, menyifatkan langkah MNLF hanya menyulitkan keadaan, bukan menyelesaikan masalah Moro.

“Saudara Nur (Misuari) mengakui tidak gembira dengan proses damai antara kerajaan Filipina dan MILF. Mungkin sebab itu beliau bertindak begitu,” katanya.
Misuari mengasaskan MNLF sebelum MILF keluar pada 1977 kerana perbezaan strategi revolusi dan politik.

Pengasas MILF, Salamat Hashim adalah Timbalan Pengerusi MNLF ketika MILF keluar daripada MNLF.
Lepas tembakan

Tembakan mesingan kedengaran di jalan raya Zamboanga ketika anggota Marin menyasarkan anggota MNLF, kelmarin.

Beberapa rumah terbakar tetapi anggota bomba tidak dapat memadamkannya kerana ditembak anggota pemisah itu.

“Kami takut. Kami hanya mahu ia tamat secepat mungkin supaya dapat teruskan kehidupan,” kata seorang penduduk, Ed Laguatan.

“Kami boleh nampak mereka di rumah sebelah. Mereka tidak takut mati,” katanya.
Pertempuran bermula awal kelmarin selepas anggota MNLF itu masuk ke bandar Zamboanga daripada bandar dan pulau berdekatan.

Pertempuran menyebabkan empat maut dan 14 lagi cedera.
Komando tentera laut pula membunuh tujuh anggota MNLF, kata jurucakap tentera laut Filipina, Lt-Komander Gregory Fabic.
AFP/AGENSI sumber

No comments: