Tuesday, September 10, 2013

FILIPINA - MNLF Tak Sokong Serangan Misuari

MNLF tidak  sokong MisuariTentera Filipina melakukan rondaan bagi mengawal keadaan manakala gambar kecil menunjukkan seorang askar menunggu rawatan selepas cedera. - Foto REUTERS
Cotabato: Pemimpin kumpulan lebih besar dalam Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) tidak menyokong tindakan puak pimpinan Nur Misuari yang menyerang Zamboanga dan mengambil beratus-ratus orang sebagai tebusan.

Mereka memberi jaminan kepada kerajaan Filipina bahawa MNLF terus mengiktiraf pelan damai 1996 dan tidak terbabit dalam serangan oleh pengikut Misuari. 
“Kumpulan kami tidak ada kaitan dengan tindakan mereka. Kami tidak melihatnya baik untuk proses damai Mindanao,” kata Jurucakap Forum Pemimpin Kanan MNLF, Abdul Sahrin, kepada wartawan. 


Forum itu dianggotai pemimpin tinggi MNLF termasuk bekas Gabenor Sulu, Yusoph Jikiri dan puluhan lagi yang bersidang minggu lalu di Zamboanga serta Gabenor Wilayah Autonomi Muslim Mindanao (ARMM), Mujiv Hataman.

Forum itu diharapkan memegang peranan untuk melaksanakan program membanteras kemiskinan penduduk Moro dalam ARMM.

Sahrin berkata, mereka juga tidak menyokong peristiharan kemerdekaan oleh Misuari baru-baru ini selepas menuduh kerajaan gagal patuh kepada beberapa fasal tertentu dalam perjanjian damai.

Bekas Timbalan Datuk Bandar Cotabato, Muslimin Sema yang mengetuai kumpulan terbesar dalam MNLF menerusi 20 puak di semua kawasan Mindanao termasuk Palawan, berkata mereka terus setia kepada gencatan senjata 17 tahun dengan Manila. 
Tidak akan berpaling

“Kami tidak akan berpaling daripada perjanjian damai selagi ada mekanisme yang boleh diterima MNLF dan kerajaan untuk dilaksanakan dan memberi kepuasan kepada kedua-dua pihak,” kata Sema kepada akhbar tempatan.

Malah, katanya, beliau sudah memberi arahan kepada semua ahli supaya tidak mengambil apa-apa tindakan sejajar dengan komitmen mereka kepada Jawatankuasa Keamanan Selatan Filipina yang dibentuk oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

MNLF, tegasnya, menyokong resolusi secara aman jika berlaku sebarang salah faham dengan Manila mengenai pelaksanaan fasa akhir perjanjian damai.

AGENSI sumber

No comments: