Zamboanga hadapi krisis kemanusiaanPenduduk diletakkan di tempat perlindungan sementara di sebuah stadium kerana serangan MNLF disifatkan sebagai satu ‘krisis kemanusiaan’.
Wanita, kanak-kanak paling trauma selepas keganasan meletus

Manila: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa bandar Zamboanga menghadapi krisis kemanusiaan selepas beribu-ribu orang terjejas kerana keganasan berikutan serangan pemisah Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF). 

Beratus-ratus askar dan polis terbabit dalam pertempuran selepas pemisah MNLF memasuki bandar itu dan mengambil tebusan yang memaksa pihak berkuasa bertindak balas. 
15 askar, polis terbunuh 


Seramai 15 askar dan polis terbunuh manakala 104 pemisah terbabit maut, kata jurucakap polis. 

Berpuluh-puluh pemisah MNLF juga ditahan atau menyerah diri tetapi masih ada yang lain terus bebas dan menjadikan orang awam sebagai perisai manusia. 

Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) menganggarkan 158,000 terjejas kerana keganasan itu dan lebih 10,000 kediaman musnah. 

Lebih 109,000 orang kini kehilangan tempat tinggal di Zamboanga dan hampir 19,000 lagi di Basilan. 
“Kami semakin bimbang dengan keadaan ini dan semakin ramai yang terperangkap dalam keganasan,” kata Wakil dan Penyelaras Kemanusiaan PBB di Filipina, Luiza Carvalho. 

“Kami amat bimbang dengan golongan paling lemah iaitu wanita dan kanak-kanak,” katanya dengan menyifatkan mereka paling trauma dan sukar menjalani kehidupan seperti biasa. 

Kira-kira 70,000 berlindung di sebuah stadium sukan utama di Zamboanga dalam keadaan sesak dan kotor. 

OCHA memberi amaran, wujud risiko penyakit berjangkit tersebar. Mereka juga memerlukan makanan, air minuman, khidmat kesihatan, peralatan memasak, khemah dan keperluan lain. 

“Kami paling gusar bekalan keperluan tidak diagihkan dengan baik dengan mereka yang berada di luar pusat perlindungan tidak dilupakan,” kata Carvalho. - AFP