Thursday, September 19, 2013

MALAYSIA - Siapa Dalang Projek IC?


KOTA KINABALU: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan yang telah dibuat oleh bekas ketuanya Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau mengetahui tentang projek IC di Sabah.

Beliau memaklumkan demikian ketika memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang diketuai bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Steve Shim hari ini.

Katanya, walaupun beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu namun terlalu banyak perkara yang dirahsiakan oleh Mahathir.
Malah katanya lagi, beliau juga tidak pernah dipanggil untuk menghadiri mesyuarat melibatkan isu dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Saya menafikan setiap apa yang diperkatakan oleh Mahathir sebelum ini dan saya tidak mengetahui langsung dengan projek IC Sabah.

"Walaupun saya memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu, terlalu banyak perkara yang dirahsiakan, malah saya juga tidak dipanggil langsung untuk menghadiri mesyuarat membabitkan isu keselamatan negara," jelas beliau.

Anwar turut menegaskan ketika  beliau memegang jawatan sebagai pemangku Perdana Menteri selama dua bulan, beliau tidak pernah diberi taklimat berhubung dengan projek tersebut, apatah lagi menandatangani dokumen berkaitan isu yang dibangkitkan ini.

"Ketika memegang jawatan sebagai pemangku Perdana Menteri saya juga tidak diberi taklimat berhubung dengan projek ini.

"Malah tidak pernah melihat ataupun menandatangi sebarang dokumen untuk kelulusan pemberian IC.

"Dulu dalam kerajaan setiap perkara yang ingin dilakukan perlu mendapat kebenaran ataupun kelulusan dari Perdana Menteri, sesiapa pun tidak boleh membuat sebarang keputusan termasuk memberi IC tanpa kebenaran Mahathir," katanya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut memberitahu isu pemberian IC kepada pendatang asing bukan sahaja berlaku di Sabah malah turut berlaku di beberapa buah negeri di semenanjung sebelum pilihanraya umum yang lalu.

Beliau yang juga turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai bukti mengatakan beliau ada menandatangani dokumen berkaitan projek IC di Sabah boleh mendedahkannya.

"Saya cabar mana-mana pihak terutamanya di dalam Umno yang mengatakan saya ada menandatangani dokumen berkaitan projek tersebut sila kemukakan.

"Perkara ini tidak pernah dibincangkan sepanjang saya berada dalam kerajaan sebelum ini, dalam kerajaan tanpa arahan politik dari Perdana Menteri pemberian IC ini tidak akan berlaku," sambung beliau.

Beliau yang turut mencadangkan kepada RCI bahawa penguatkuasaan perlu dipertingkatkan terutamanya membabitkan soal keselamatan negara.

Katanya lagi, soal pemberian IC yang melibatkan bukan warganegara, perlu melalui proses yang ketat kerana ini bukan sahaja melibatkan soal keselamatan tetapi akan turut melibatkan soal pemilihan sesebuah kerajaan pada pilihanraya. sumber

No comments: