Saturday, September 7, 2013

MESIR - Ikhwan Mahu Dibubarkan

Mesir  mahu  bubar Ikhwanul MusliminPintu kaca ibu pejabat Ikhwanul Muslimin dipecahkan dalam serangan di Kaherah dua hari lalu. Gambar kecil menunjukkan penyokong Morsi melaungkan bantahan ketika mengadakan tunjuk perasaan di Kaherah, kelmarin.
Kaherah: Kerajaan sementara Mesir yang disokong tentera membuat keputusan membubarkan Ikhwanul Muslimin sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam tempoh beberapa hari lagi, lapor media tempatan.

Keputusan itu berkuatkuasa ke atas pendaftaran Ikhwanul Muslimin yang dibuat Mac lalu, sebagai reaksi kepada tuntutan mahkamah yang mempertikaikan bahawa kumpulan itu tidak mempunyai status sah dari segi perundangan. 
Bagaimanapun, setakat ini tiada cubaan untuk mengharamkan sayap politik kumpulan itu, Parti Kebebasan dan Keadilan. 


Tamparan hebat

Pembubaran itu menjadi tamparan perundangan paling hebat kepada kumpulan Morsi ketika pihak berkuasa meneruskan langkah menahan anggota Ikhwanul Muslimin dalam tindakan paling keras sejak beberapa dekad lalu.

Akhbar Al-Shourouk yang memetik kenyataan jurucakap kementerian perpaduan masyarakat Hany Mahana, berkata keputusan itu akan mengambil masa beberapa hari untuk dikuatkuasakan.

Akhbar Al-Akhbar yang turut memetik kenyataan Mahana, melaporkan bahawa keputusan sudah dibuat. 
“Keputusan kementerian sudah diluluskan tetapi hanya akan diumumkan awal minggu depan dalam satu sidang akhbar,” lapor akhbar terbabit.

Seorang pegawai kanan kerajaan bagaimanapun menafikan bahawa keputusan pembubaran sudah dibuat.

Ikhwanul Muslimin menang pilihan raya presiden dan parlimen, selepas bekas Presiden Hosni Mubarak, digulingkan pada 2011. Tentera bagaimanapun menggulingkan Morsi pada 3 Julai lalu, sebagai tindak balas kepada tunjuk perasaan menentang pemerintahannya.

Pasukan keselamatan sudah membunuh beratus-ratus penyokong Morsi dan menahan ramai pemimpin kanan pergerakan berkenaan atas dakwaan mencetuskan keganasan.

Al-Akhbar melaporkan, keputusan Menteri Perpaduan Masyarakat, Ahmed el-Boraie, untuk membubarkan kumpulan itu sebagai sebuah NGO dibuat berpunca daripada dakwaan bahawa Ikhwanul Muslimin menggunakan ibu pejabatnya untuk menyimpan senjata api dan bahan letupan.

Gagal beri reaksi

“Ikhwanul Muslimin gagal memberi reaksi balas atas dakwaan itu mengikut yang ditetapkan,” kata akhbar itu.

Persekutuan Pertubuhan Bukan Kerajaan Mesir, sudah menghantar surat kepada Kementerian Perpaduan Masyarakat kelmarin, menyokong pembubaran Ikhwanul Muslimin.

Ikhwanul Muslimin ditubuhkan pada 1928 tetapi dibubarkan secara rasmi oleh pemerintah tentera Mesir pada 1954. - REUTERS sumber

No comments: