Monday, September 30, 2013

PAKISTAN - 37 Maut dalam Bom Kereta

 37 maut, 75 cedera bom kereta meletupPegawai keselamatan Pakistan dan sukarelawan berhimpun di lokasi letupan bom di pasar Qissa Khawani di Peshawar semalam. Gambar kecil, sukarelawan mengangkat mangsa letupan bom untuk dibawa ke hospital.
Peshawar: Sekurang-kurangnya 37 orang terbunuh manakala 75 lagi cedera dalam letupan bom kereta di Peshawar semalam, kejadian ketiga melanda bandar di barat laut Pakistan itu dalam tempoh seminggu, kata pegawai. 

Pegawai polis Nawaz Khan berkata, kejadian terbaru itu dipercayai daripada bom di dalam sebuah kereta diaktifkan menggunakan alat kawalan jauh. Ia meletup di sebuah pasar yang sibuk berhampiran sebuah masjid dan balai polis. 
Memusnahkan masjid 


“Letupan memusnahkan masjid serta kedai berhampiran manakala banyak kenderaan terbakar,” katanya. 

Pegawai kanan kerajaan di Peshawar, Sahibzada Anees berkata, 37 orang terbunuh, manakala 75 yang lain dikejarkan ke Hospital Lady Reading untuk mendapatkan rawatan. 

Sejak Ahad lalu, letupan bom di Peshawar, ibu negeri wilayah Khyber Pakhtunkhwa sudah mengorbankan 141 nyawa. 

Dalam kejadian pertama dua penyerang bunuh diri meletupkan bom di sebuah gereja menyebabkan 85 orang terbunuh. 
Pada Jumaat pula, 19 orang maut apabila bom yang disembunyikan di dalam sebuah bas membawa kakitangan kerajaan kembali ke rumah pada hujung minggu, meletup di pinggir Peshawar. 

Pemilik kedai buku, Nazar Ali berkata beliau baru membuka kedainya apabila bom tiba-tiba meletup. 

“Letupannya sangat kuat menyebabkan banyak kereta turut terbakar. Asap hitam memenuhi udara dan saya nampak ramai orang bergelimpangan dengan darah di merata-rata tempat,” katanya. 


Bangunan kayu 

Pegawai kanan polis, Shafqat Malik berkata, banyak bangunan di kawasan pasar Qissa Khawani dibina daripada kayu, menyebabkan terbakar dengan mudah apabila bom meletup. 

Seorang lagi saksi, Adnan Hussain berkata, beliau sedang bersarapan apabila bom tiba-tiba meletup. 

“Tiba-tiba saya mendengar letupan kuat, menyebabkan saya terpelanting ke tanah. Sepupu saya Rizan terbunuh dan yang lain parah,” kata ketika ditemui wartawan di hospital. 

Seorang lelaki, Muhammad yang ditemui di hospital berkata, 13 orang daripada sebuah keluarga terbunuh di dalam kejadian itu. - AP sumber

No comments: