Tuesday, September 17, 2013

SYRIA - Barat Beri Bantuan kepada Penentang

PARIS: Britain, Perancis dan Amerika Syarikat bersetuju meningkatkan sokongan kepada pemberontak yang mahu menggulingkan Presiden Syria, Bashar al-Assad. 

Tiga negara itu yang berunding di sini juga bersetuju bahawa Bashar akan menghadapi kesan buruk jika gagal akur kepada resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai penyerahan senjaya kimianya untuk dikawal masyarakat antarabangsa, kata Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius. 
Setiausaha Negara Amerika, John Kerry berkata: “Jika Bashar gagal mematuhi proses penyerahan senjata itu, dia akan hadapi padahnya.” 


Tekanan diteruskan 

Kerry yang bersetuju syarat penyerahan senjata itu dengan rakan sejawatannya dari Russia, Sergey Lavrov, di Geneva berkata sekutu Barat akan terus mengenakan tekanan ke atas Bashar. 

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon akan membentangkan laporan mengenai senjata kimia Syria hari ini. 

Ban akan menyampaikan laporan penyiasat PBB kepada Majlis Keselamatan PBB di New York pada 11.15 pagi waktu tempatan. 
Beliau sudah menjangka laporan itu akan mengesahkan senjata kimia digunakan dalam serangan dekat Damsyik pada 21 Ogos lalu yang menyebabkan beratus-ratus orang maut. 

Sokongan antarabangsa agak kuat kepada perjanjian Amerika dan Russia mengenai penyerahan senjata kimia itu. 

Tetapi, seorang menteri Syria menekankan bahawa perjanjian itu kemenangan kepada Damsyik. 

“Ia membantu Syria keluar daripada krisis dan mengelak perang dilancarkan. Ini kemenangan bagi Syria dan kami berterimakasih kepada sahabat kami, Russia,” kata Menteri Negara bagi Perpaduan Kebangsaan, Ali Haidar kepada agensi berita Russia, Ria Novosti. 

Beliau membuat kenyataan itu ketika Kerry berunding dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. 

Agensi berita melaporkan, Kerry memberi taklimat kepada pemimpin Yahudi itu mengenai isu Syria selain terus memberi amaran kepada Damsyik. - AGENSI sumber

No comments: