Tuesday, September 10, 2013

SYRIA - Serangan Senjata Kimia Bukan Arahan Basyar

Bonn: Presiden Syria, Bashar al-Assad tidak memberi arahan melancarkan serangan kimia terhadap satu kawasan dekat Damsyik pada 21 Ogos lalu. 

Ia didedahkan akhbar Bild am Sonntag yang memetik perisikan kanan Jerman selepas mengumpul maklumat yang dipintas kapal pemantaunya di perairan Syria. 
Maklumat yang dipintas itu menunjukkan bukan Bashar yang memberi arahan melancarkan serangan itu termasuk kejadian lalu membabitkan serangan kimia, lapor akhbar The Guardian, semalam. 


Pemerintah serang 

Minggu lalu, ketika berucap dalam mesyuarat tertutup jawatankuasa Parlimen Jerman, Ketua Agensi Risikan BND, Gerhard Schindler, berkata agensinya bersetuju dengan pandangan Amerika Syarikat bahawa pihak pemerintah melancarkan serangan kimia dan bukan pemberontak. 

Tetapi, katanya, agensi itu tidak mempunyai bukti untuk menyalahkan mana-mana pihak. 

Bashar turut memberitahu stesen televisyen CBS beliau tidak memberi arahan itu. “Tiada bukti saya menggunakan senjata kimia terhadap rakyat sendiri,” katanya mengenai serangan di daerah Ghouta yang mengorbankan 1,400 orang. 

Laporan akhbar Jerman itu dijangka menambah kesukaran pentadbiran Presiden Barack Obama untuk mengumpul sokongan kuat bagi menyerang Syria. 

Obama gesa tindakan 

Obama menggesa Kongres Amerika meluluskan tindakan tentera bagi menghalang kerajaan Syria menggunakan senjata kimia sekali lagi selain mengurangkan kekuatan tenteranya yang terbabit dalam perang dua tahun enam bulan lalu. 

Tetapi, Obama menghadapi tentangan kuat anggota Parti Demokrat dan Republikan di Dewan Perwakilan yang keberatan terbabit dalam perang baru di Asia Barat. 

Selain itu, Presiden Russia, Vladimir Putin, mengingatkan Amerika bahawa sebarang tindakan ketenteraan tanpa kebenaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah haram di sisi undang-undang antarabangsa. 

Bercakap di Paris, Setiausaha Negara Amerika, John Kerry, berkata Washington tidak menolak untuk meminta keizinan Majlis Keselamatan PBB bagi melancarkan serangan sebaik saja penyiasat menamatkan siasatan ke atas serangan itu dijangkakan akhir minggu ini. 
AGENSI sumber

No comments: