Wednesday, October 30, 2013

BRITAIN - Ribut, 15,000 Pelajar Malaysia Selamat

Kuala Lumpur: Seramai 15,000 pelajar Malaysia yang menuntut di United Kingdom dilaporkan selamat daripada kejadian ribut yang melanda selatan Britain, kelmarin. 

Jurucakap Kedutaan Malaysia di United Kingdom ketika dihubungi BH berkata, bencana yang berlaku itu hanya melanda di selatan Britain yang lokasinya jauh daripada tempat pengajian pelajar Malaysia. 
“Institusi pengajian yang membabitkan pelajar Malaysia berada di luar kawasan bencana dan tiada berita buruk yang membabitkan mereka setakat ini. 


“Kita sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan sentiasa berhubung dengan Pejabat Pendidikan Malaysia United Kingdom untuk mengetahui keadaan semasa pelajar,” katanya. 

Arahan batal kuliah 

Sementara itu, pelajar Sarjana Akaun Universiti Essex, Nazila Nazali, berkata ribut yang melanda sejak pagi Isnin itu menyebabkan pengurusan pusat pengajiannya di Colchester mengeluarkan arahan membatalkan kuliah. 

“Malah, bencana itu juga menyebabkan majlis jamuan teh bersama Perdana Menteri yang sepatutnya saya hadiri, dibatalkan,” katanya yang sudah menghubungi keluarga di Kuala Lumpur untuk memaklumkan dirinya selamat daripada bencana berkenaan. 
Nur Syaeerah Ahmad Shakeree yang menuntut di London School of Business and Finance berkata, walaupun ribut itu berlaku di bahagian selatan Britain, kediamannya di Utara London turut merasai kesannya. 

“Beberapa batang pokok tumbang di jalan raya akibat angin kuat. Ia berlarutan beberapa jam sebelum keadaan kembali seperti biasa,” katanya. sumber

No comments: