Monday, October 14, 2013

IRAN - Rundingan Baru Nuklear

Tehran: Iran semalam menolak desakan Barat untuk menghantar bahan nuklear sensitif keluar dari negara itu, tetapi memberi isyarat bersedia bertolak ansur, mengenai aspek lain dalam aktiviti atomnya yang membimbangkan kuasa dunia, menjelang rundingan baru minggu ini. 

Komen Timbalan Menteri Luar, Abbas Araqchi, bakal mengecewakan pegawai Barat, yang mahu Iran menggantung 20 peratus pengayaan dan membawa keluar simpanan uranium sedia ada selain menutup tapak bawah tanah Fordow lokasi penghasilan pengayaan uranium gred tinggi dilakukan. 
“Sudah tentu kami akan berunding mengenai bentuk, kadar dan pelbagai tahap pengayaan uranium, tetapi membawa bahan berkenaan keluar dari negara ini adalah batas rundingan kami,” katanya yang dipetik laman web stesen televisyen tempatan. 


Kuasa dunia akan mengadakan rundingan baru dengan Iran mengenai program nuklearnya esok dengan harapan semakin optimis disebabkan dasar lebih lembut pemimpin baru Tehran. 

Ikrar selesai isu 

Mesyuarat yang berlangsung dua hari di Geneva adalah rundingan baru membabitkan Presiden Hassan Rouhani, seorang pemimpin sederhana yang mengambil alih jawatan Ogos lalu. 

Beliau berikrar untuk memberi sumbangan bermakna dalam hal ehwal antarabangsa dan menyelesaikan isu mengenai program nuklear Iran. Negara Barat dan Israel mengesyaki Tehran membangunkan keupayaan senjata nuklearsumber

No comments: