Tuesday, October 1, 2013

MALAYSIA - Akademi Seni Islam Bakal Diwujudkan


AMPANG: Kerajaan Kelantan bercadang menubuhkan Akademi Seni Islam bagi membantu rakan selebriti mengembangkan bakat masing-masing menurut landasan Islam.

Hasrat itu sebagai suatu penghormatan untuk golongan selebriti dan artis bagi membantu mereka menjadi ikon masyarakat yang bersyariat.

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, penubuhan akademi itu secara langsung akan memberi peluang kepada mereka menggunakan medium hiburan sebagai aktiviti berdakwah dalam seni.

Katanya, hasrat itu juga turut membuktikan kepada umum bahawa Kerajaan Kelantan tidak pernah meminggirkan seni hiburan termasuk golongan artis, sebaliknya akan terus memandu mereka agar sentiasa menjadi ikon yang disayangi masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Kerajaan Kelantan Bersama Selebriti di sebuah hotel,  dekat sini,  Ahad lepas.

Hadir sama  bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah dan artis Indonesia, Kholidi Masadil Alam atau Mas Azam.

Lebih 30 selebriti dakwah dan artis menjayakan majlis yang julung kalinya  diadakan bagi menghargai golongan itu yang pernah memenuhi undangan Kerajaan Kelantan bermula 2008 hingga 2013.

Bagaimanapun, menurutnya sebelum akademi itu ditubuhkan, kajian  terperinci akan dilakukannya khususnya bagi membincangkan pengisian program.

“Bukan seperti dalam politik, sebaliknya golongan selebriti ini mampu memberikan ketenangan kepada anggota masyarakat,”ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu Islam sendiri tidak pernah menghalang umatnya berhibur selagi tidak bercanggah dengan syariat.

Katanya, tanggapan segelintir masyarakat bahawa golongan selebriti menyimpang jauh dari jalan dakwah perlu dikikis, sebaliknya mereka berjaya memandu rakyat pada jalan Allah sekiranya golongan artis juga berpandukan syariat.

“Mungkin melalui golongan seni, ahli kebudayaan ini boleh menyampaikan keindahan Islam melalui puisi, syair, nyanyian atau lakonan mereka,” katanya lagi.

No comments: