Presiden China mula lawatanNajib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor meraikan Presiden China, Xi Jinping dan isteri, Peng Liyuan (kiri) pada majlis makan malam sempena lawatan tiga hari tetamu dari China itu ke Malaysia di Putrajaya, malam tadi. - Foto BERNAMA
Kunjungan untuk kekalkan hubungan mesra dengan Kuala Lumpur

Sepang: Presiden China, Xi Jinping tiba di sini semalam bagi memulakan lawatan negara tiga hari ke Malaysia. 
Ketibaan Xi dan isteri, Peng Liyuan, di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini disambut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subra-maniam. 


Turut mengiringi Xi dalam rombongan itu ialah Anggota Dewan Negara yang bertanggungjawab terhadap hubungan luar Yang Jiechi, Menteri Luar, Wang Yi dan Menteri Perdagangan, Gao Hucheng.

Lawatan Xi amat penting memandangkan ia mencerminkan komitmen kepemimpinan baru China untuk mengekalkan hubungan mesra dengan Kuala Lumpur yang terjalin sejak sekian lama selepas hubungan diplomatik diwujudkan 39 tahun lalu.

Perkukuh kerjasama

Menurut Wisma Putra, lawatan itu akan membolehkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Xi melakar hala tuju masa depan hubungan Malaysia-China. 
Ini termasuk menegaskan semula komitmen untuk memperkukuhkan kerjasama dalam semua bidang dan menyumbang ke arah kemakmuran serta mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau ini.

Hari ini, Xi akan mengadakan pertemuan dengan Najib di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. 

Beberapa memorandum persefahaman dijangka dimeterai dalam pertemuan itu, disusuli persidangan media oleh kedua-dua pemimpin.

Dagangan dua hala antara China dan Malaysia mencecah AS$94.8 bilion pada 2012, dengan China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia empat tahun berturut-turut dan Malaysia menjadi rakan dagang terbesar China di rantau Asean sejak lima tahun lalu. - BERNAMA