Polis biar Muslim diserang
Thandwe: Perusuh Buddha tidak mempedulikan gesaan Presiden Thein Sein, supaya menghentikan keganasan terhadap penduduk minoriti Islam, ketika beliau melawat barat Myanmar minggu lalu. 

Malah, anggota keselamatan tidak menghalang mereka membakar rumah penduduk Islam atau mencencang mereka hingga mati dan ada ketikanya, anggota keselamatan termasuk polis memberi galakan. 
Tingkat keraguan 


Keadaan itu meningkatkan keraguan terhadap keupayaan kerajaan menghapuskan kebencian penduduk Buddha yang dipersalahkan atas kematian 240 penduduk Islam sejak 18 bulan lalu. 

Selasa lalu, lima penduduk Islam dibunuh dalam serangan di bandar ini, hanya beberapa jam sebelum Thein Sein mendarat untuk satu kunjungan. 

Beliau berjanji siasatan segera akan dilakukan dan media kerajaan kelmarin melaporkan, 44 suspek ditahan tetapi tidak mendedahkan butiran lanjut. 

Penduduk Islam ketakutan 
Namun, ketika askar meronda di perkampungan terjejas teruk di Thabyuchaing, sambil membawa senjata semi-automatik, penduduk Islam masih ketakutan. 

Mereka berkata, pihak berkuasa ada banyak peluang menghalang serangan Selasa lalu, setiap satu lebih kejam dan ganas berbanding sebelumnya, namun tidak melakukan apa-apa. 

Lebih 110 rumah dibakar dan 500 penduduk hilang tempat tinggal di negara 60 juta penduduk itu. 

Pada mulanya, 150 samseng Buddha masuk ke perkampungan itu pada awal pagi dan membakar sebuah rumah sebelum dihalang, kata Myint Aung, 52, berdiri di depan sebuah masjid. 

Polis menahan tiga suspek sejurus selepas itu, namun membebaskan mereka serta merta selepas diugut lebih banyak keganasan akan meletus. 

Walaupun polis menjanjikan perlindungan di perkampungan Islam, merampas senjata dan mengarahkan mereka pulang ke rumah, lebih ramai samseng menyerang pada jam 9.30 pagi dan kemudian 2.30 petang. 

Antara yang maut adalah wanita berusia 94 tahun dan lelaki berusia 89 tahun, kedua-duanya terlalu uzur untuk lari dan mati kerana ditikam. 
AP sumber