Tuesday, October 1, 2013

MYANMAR - Samseng2 Buddha Menyerang Muslim

Samseng beragama Buddha cuba menyerang

Yangon: Penduduk Islam yang ketakutan bersembunyi dalam rumah semalam selepas polis menyuraikan sekumpulan samseng beragama Buddha yang membakar rumah dan mengepung sebuah masjid dalam ketegangan terbaru di barat laut Myanmar. 

Keadaan bandar Thandwe tidak menentu selepas anggota polis mengawal ketenteraman dengan melepaskan tembakan ke udara untuk menyuraikan samseng itu lewat kelmarin, kata sumber keselamatan. 
Thandwe terletak 260 kilometer dari ibu kota Yangon, terletak di negeri Rakhine, rantau yang terjejas teruk kerana serangan terhadap terhadap penduduk Muslim. 


Seperti juga rusuhan kaum sebelum ini, perselisihan kecil sudah cukup untuk mencetuskan kemarahan, kata seorang ahli politik Islam tempatan. 

Bersembunyi dalam rumah 

“Kami kini ketakutan dan bersembunyi dalam rumah, seperti sebelumnya,” kata Pengerusi Parti Islam Kaman, Kyaw Zan Hla, menerusi telefon, menambah bahawa kira-kira 200 menyertai samseng terbabit dengan memakai topeng dan membawa obor. 

Katanya, dia sendiri terbabit dalam satu pertengkaran selepas berang dengan seorang lelaki Buddha yang meletakkan motosikal di hadapan rumahnya lewat Sabtu lalu disusuli khabar angin tersebar dia menghina penganut Buddha. 
Polis melaporkan, tiada kematian atau kecederaan akibat insiden di Thandwe, terletak berhampiran lapangan terbang diguna pelancong melawat pantai pelancongan terkenal Ngapali. 

Pertembungan antara majoriti penduduk Buddha dan Muslim mengorbankan sekurang-kurangnya 237 orang dan menyebabkan lebih 150,000 orang kehilangan tempat tinggal sejak Jun 2012. 

Keganasan mengancam melemahkan pembaharuan politik dan ekonomi, dilancarkan dua tahun sejak kerajaan separa awam menggantikan junta tentera. 

April lalu, kerajaan berkata, 192 terbunuh pada Jun dan Oktober 2012 dalam pertembungan antara etnik Buddha Rakhine dan penduduk Islam Rohingya, yang dianggap Myanmar sebagai pendatang haram dari Bangladesh, walaupun sudah beberapa generasi tinggal di negara itu. 

Masyarakat tiada kawan 

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan penduduk Islam Rohingya sebagai masyarakat yang tiada kawan. 

Pertembungan antara Rohingya dan Rakhine pada Jun 2012 menyebabkan rusuhan di tempat lain di negara itu, dengan penduduk Islam menjadi sasaran termasuk Kaman, etnik berbeza dari Rohingya. 

Dianggarkan lima peratus daripada 60 juta penduduk Myanmar beragama Islam. 

REUTERS  sumber

No comments: