Tuesday, October 1, 2013

PAKISTAN, IRAQ - Korban Bom Meningkat

Korban bom  Iraq, Pakistan meningkatSeorang anggota polis memeriksa kenderaan yang digunakan untuk meletupkan bom dalam kereta di Kota Sadr, Baghdad, semalam, manakala (gambar kecil) seorang pekedai mengumpul barang miliknya di celah runtuhan bangunan yang rosak kerana letupan bom di Peshawar, kelmarin.
Baghdad/Peshawar: Sebanyak 14 serangan bom kereta di kawasan majoriti penduduk Syiah di Baghdad mengorbankan 54 orang semalam, selain mencederakan puluhan lagi. 

Selain itu, angka kematian serangan bom kereta di Peshawar, Pakistan, juga meningkat kepada 42 orang. 
Serangan terburuk berlaku di Kota Sadr apabila letupan bom kereta berlaku dekat satu tempat pekerja berkumpul menyebabkan tujuh orang maut, dua daripadanya askar. 


Tidak diketahui siapa yang melakukan serangan itu tetapi militan Sunnah dilaporkan memperhebat serangan sejak kebelakangan ini. 

Selain itu, konfllik di Syria lebih dua tahun lalu juga dianggap sedikit sebanyak menjejaskan hubungan penduduk Syiah, Kurdis dan Sunnah di Iraq. 

Letupkan masjid 

Ahad lalu, seorang penyerang bunuh diri meletupkan bom dalam sebuah masjid ketika penduduk Syiah mengadakan pengebumian menyebabkan 40 orang maut di Mussayab, 60 kilometer ke selatan Baghdad. 

Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Iraq berkata, 800 warga Iraq terbunuh kerana keganasan sepanjang bulan Ogos. 

Di Peshawar, angka kematian akibat serangan bom kereta di bandar ini kelmarin juga meningkat kepada 42 orang. 

Serangan itu menyebabkan satu kawasan pasar yang sibuk terbakar. Ia adalah serangan ketiga dalam tempoh seminggu di bandar itu. 

“Angka kematian dalam serangan meningkat kepada 42 orang selepas tiga lagi menghembuskan nafas terakhir semalam,” kata pegawai kanan di Hospital Lady Reading, di sini, Dr Arshad Javaid. 

Katanya, 64 orang yang cedera terus mendapat rawatan di hospital itu dengan tujuh daripadanya kritikal. 

Pegawai kanan pentadbiran tempatan, Sahebzada Muhammad Anis, mengesahkan angka korban itu. 

Pasar jadi sasaran 

Antara yang maut, termasuk lapan wanita dan enam kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun. 

Bom itu meletup berdekatan sebuah balai polis tetapi pihak berkuasa percaya ia bukan sasaran sebenarnya. 

“Nampaknya pasar itu adalah sasaran utamanya,” kata ketua unit pemusnah bom, Shafqat Malik. 

Katanya, adalah jelas kenderaan itu sengaja diletakkan di tepi jalan kerana bom itu diletupkan dari jauh. 

- AFP/REUTERS  sumber

No comments: