Wednesday, October 9, 2013

SYRIA - 100 Pakar Senjata Akan Tiba

New York: Seramai 100 pakar akan terbabit dalam pemusnahan stok senjata kimia Syria yang turut memerlukan bantuan negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon kepada Majlis Keselamatan, kelmarin. 

Satu pasukan pakar yang dihantar lebih awal memulakan tugas mulai Ahad lalu dengan disokong petugas badan dunia. 
Pantau tentera Syria 


Mereka adalah anggota Pertubuhan Melarang Penggunaan Senjata Kimia (OPCW) yang menyelia tentera Syria mematikan kepala peledak peluru berpandu dan bom. 

Kerja memusnahkan senjata itu akan berlangsung hingga pertengahan 2014. 
Surat kepada Majlis Keselamatan 15 negara anggota itu memaklumkan pemusnahan akan membabitkan tiga fasa. 

Fasa awal sudah bermula manakala fasa kedua membabitkan pemusnahan senjata kimia dan peralatan berkaitan dan fasa ketiga adalah mengenai pengesahan pemusnahannya dan pemantauannya. 
“Fasa ketiga adalah bahagian paling sukar dan mencabar,” kata surat berkenaan. 
“Mulai 1 November 2013 hingga 30 Jun 2014, misi bersama ini akan melaksanakan tugas memantau dan mengesahkan kemusnahan program senjata kimia rumit membabitkan lokasi di seluruh Syria yang dilanda konflik. 

“Ia juga membabitkan 1,000 tan metrik senjata kimia, agen dan peralatan menghasilkannya,” kata Ban. 

Misi berbahaya 

Beliau juga berkata, bahan berkenaan adalah bahaya kepada sesiapa yang memegangnya, menghantarnya dan memusnahkannya. 

“Misi akan dilancarkan sekurang-kurangnya membabitkan 100 petugas dari OPCW dan PBB," katanya lagi. 

Ban menekankan, operasi itu berbahaya kerana petugas perlu bergerak merentasi kawasan perang termasuk lokasi kawalan kumpulan bersenjata yang saling bermusuh dan menentang tugas pakar terbabit. 

OCPW dan PBB terpaksa mengambil langkah segera menghantar pasukan itu selepas Majlis Keselamatan meluluskan resolusi pemusnahan senjata kimia Syria pada 27 September lalu. 

Pelan itu dilancarkan selepas satu serangan senjata kimia dekat Damsyik pada 21 Ogos lalu menyebabkan 1,400 orang maut. 

AFP/REUTERS  sumber

No comments: