Tentera Syria lawan  al-QaedaTentera pembebasan Syria menghasilkan bom sendiri di daerah Aleppo. - Foto REUTERS
Menteri dakwa militan cencang tawanan perang

NEW YORK: Menteri Luar Syria, Walid al-Moallem berkata, kerajaan masih berperang dan berjuang melawan militan al-Qaeda memakan hati dan mencencang tawanan mereka hidup-hidup sebelum mayatnya dihantar kepada keluarga terdekat. 
Bercakap pada Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Walid al-Moallem mendakwa bahawa Amerika Syarikat, Britain dan Perancis menghalang usaha menamakan dalang sebenar di sebalik serangan senjata kimia di Syria. 

Pengganas yang menentang rejim dalam perang saudara itu kini dibekalkan senjata kimia” Walid al-Moallem, Menteri Luar Syria

Beliau berkata pengganas yang menentang rejim dalam perang saudara itu kini dibekalkan senjata kimia. Bagaimanapun, beliau tidak menamakan negara yang didakwa menjadi pembekal.

Presiden, Barack Obama di dalam forum yang sama minggu lalu berkata, rejim Presiden Bashar al-Assad terbabit dalam serangan kimia Ogos lalu mengorbankan lebih seribu orang.

Syria bagaimanapun berkata, ia komited untuk menyingkirkan timbunan senjata kimia manakala Majlis Keselamatan PBB sebulat suara menggesa tindakan seterusnya dilakukan berdasarkan pelan yang dibuat Pertubuhan Larangan Senjata Kimia.

Siat kulit manusia 
“Walaupun gambaran pembunuhan dan memakan hati manusia dipaparkan di kaca televisyen, masih ada golongan yang buta hati. Selain pembunuhan kejam, mangsa yang tidak bersalah turut dijadikan korban dengan memanggang kepala mereka hanya kerana melanggar ideologi dan pandangan sesat al-Qaeda.

“Di Syria, puak terbabit turut membunuh manusia hidup-hidup dengan menyiat kulit mereka, kemudian cebisan daging dihantar ke rumah keluarga mangsa kerana cuba mempertahankan Syria sebagai negara bersatu dan sekular,” kata Moallem.

Video yang disiarkan sejak Mei lalu, memaparkan seorang anggota tentera pemberontak memakan hati manusia manakala mayat tentera Syria terbaring berdekatan. 

Video itu mencetuskan kecaman hebat kumpulan hak asasi manusia termasuk Pakatan Kebangsaan Syria. - AP sumber