Tuesday, November 19, 2013

AUSTRALIA Intip Perbualan Susilo

Sydney: Agensi perisikan Australia cuba mencuri dengar perbualan telefon Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono (gambar), isteri serta barisan menteri kanan republik itu menyebabkan Jakarta memanggil pulang dutanya ke Canberra.


Dokumen rahsia mengenainya dibocorkan kontraktor perisikan Amerika Syarikat Edward Snowden dan disiarkan Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) dan akhbar The Guardian.Ia menamakan SBY dan sembilan individu rapat dengan beliau sebagai sasaran pengintipan. 

Kerajaan Australia perlu memberi penjelasan segera bagi mengelak kesan buruk lebih lanjut” Teuku Faizasyah, Jurucakap Pejabat Susilo


Pendedahan memalukan

Pendedahan memalukan itu disiarkan ketika hubungan dua negara sudah tegang berhubung dakwaan pengintipan sebelumnya dan bagaimana menguruskan orang hanyut menghala ke Australia menerusi Indonesia.

Dokumen itu menunjukkan bahawa agensi perisikan elektronik Australia mengesan aktiviti Susilo dalam telefon bimbit selama 15 hari pada Ogos 2009, apabila Kevin Rudd dari parti Buruh menjadi Perdana Menteri.
Beberapa minggu sebelumnya, letupan serentak di hotel mewah di ibu kota Indonesia, JW Marriott dan Ritz-Carlton - mengorbankan tujuh orang, termasuk tiga warga Australia.

Pintas panggilan telefon

Agensi perisikan itu dilaporkan memintas sekurang-kurangnya satu panggilan.

Satu senarai sasaran turut termasuk isteri Susilo, Ani; Naib Presiden Boediono yang berada di Australia minggu lalu, bekas Naib Presiden, Jusuf Kalla, jurucakap Kementerian Luar, Menteri Keselamatan dan Menteri Penerangan, kata laporan.

Pejabat Susilo menuntut penjelasan Canberra.

“Kerajaan Australia memerlukan penjelasan segera untuk menjelaskan berita ini bagi mengelak kesan buruk lebih lanjut,” kata jurucakap, Teuku Faizasyah.

Satu lagi nama dalam senarai, bekas Menteri Usahawan Tempatan dan Komunikasi, Sofyan Djalil memberitahu: “Kami tidak gembira.” - AFP sumber

No comments: