Friday, November 22, 2013

IRAQ - Bom Kereta, 32 Maut

Baquba: Bom kereta yang meletup di tengah pasar makanan sesak di utara Baghdad mengorbankan 32 orang semalam, ketika angka kematian tahun ini melepasi 5,800 di tengah peningkatan keganasan di seluruh negara. 

Baghdad merayu bantuan antarabangsa menangani pertumpahan darah paling buruk di negara itu sejak 2008, beberapa bulan sebelum pilihan raya umum Iraq pertama dalam masa empat tahun. 

Pegawai meluahkan kebimbangan berhubung kebangkitan semula al-Qaeda berikutan perang saudara di Syria yang menyediakan rangkaian kumpulan jihad dengan peningkatan ruang merancang dan melancarkan serangan di Iraq. 


Serangan semalam berlaku sehari selepas siri serangan, kebanyakannya bom kereta menyasarkan penempatan Syiah di Baghdad, mengorbankan 59 orang dan mencederakan lebih 100 dalam angka kematian tertinggi bulan ini di negara itu. 

Sasar kawasan awam 

Pengeboman terbaru itu berlaku pada waktu tengah hari berhampiran sebuah kafe di pasar makanan di bandar Saadiyah, di wilayah Diyala yang penduduknya pelbagai etnik di timur laut Baghdad. 

Sekurang-kurangnya 32 maut dan 40 cedera dalam letupan, kata pegawai polis dan doktor. 
Kebanyakan penduduk Saadiyah berketurunan Faylis, atau Syiah Kurdis, dan terletak di wilayah yang dikehendaki pemimpin Kurdis digabungkan dengan kawasan autonomi di utara berhubung tentangan kerajaan pusat. 

Militan kerap mengeksploitasi komunikasi teruk antara puak Kurdis dan tentera kerajaan pusat untuk melancarkan serangan. - AFP sumber

No comments: