Friday, November 15, 2013

MESIR - 12 Penyokong Mursi Dipenjara 17 Tahun

Kaherah: Sebuah mahkamah Mesir menjatuhi hukuman penjara 17 tahun terhadap 12 penyokong presiden Mohamed Morsi kerana pembabitan mereka dalam bantahan ganas yang diketuai pelajar, lapor media semalam. 

Agensi berita rasmi MENA melaporkan bahawa penunjuk perasaan terbabit disabitkan bersalah kerana menyerang ibu pejabat institusi Islam Al-Azhar ketika bantahan berkenaan. 

Pergerakan Ikhwanul Muslimin Morsi dalam halaman webnya, berkata semua yang didapati bersalah adalah pelajar di Universiti Al Azhar. 


Mereka ditahan selepas penunjuk perasaan pada Oktober lalu cuba menyerbu ibu pejabat Al-Azhar, yang menyokong rampasan kuasa tentera terhadap Morsi. 

Bayar ikat jamin 

Mereka dibenarkan membayar jaminan sebanyak 64,000 pound Mesir (RM29,776), sementara menanti rayuan hukuman. 

Lebih 1,000 orang, kebanyakan penyokong Morsi terbunuh dalam pertempuran dengan polis sejak pemimpin itu digulingkan pada Julai. 
Beribu ditahan dengan kebanyakan mereka dibicarakan. 

Morsi sendiri dibicarakan kerana didakwa terbabit dalam pembunuhan penunjuk perasaan pembangkang di luar istananya. 

Beliau dibicarakan bersama 14 yang lain, termasuk bekas pembantu presiden dan ahli kanan Ikhwanul Muslimin. 

Kebanyakan pemimpin kumpuan itu, termasuk Mohamed Badie kini dipenjarakan dan polis meneruskan langkah untuk menahan berpuluh yang lain setiap minggu. 

Operasi itu dijalankan bertujuan menghalang pergerakan itu terus bergerak tetapi penyokongnya masih menjalankan bantahan harian menuntut pembebasan Morsi. 

Peguam Morsi semalam berkata, bahawa presiden terbabit memberi amaran bahawa kestabilan tidak akan kembali semula di Mesir sehingga ‘rampasan kuasa’ yang menggulingkan beliau bertukar. 

“Mesir tidak akan kembali stabil kecuali menukar rampasan kuasa ini,” kata peguam Morsi, Mohamed al-Damati yang memetik kata-kata bekas presiden itu kepadanya. AFP sumber

No comments: