Thursday, November 21, 2013

SYRIA - Senjaya Kimia Mungkin Dimusnah di Laut


Foto
Warga Syria yang melarikan diri daripada keganasan terbaru di wilayah Qalamoun, berbaris untuk didaftarkan Suruhanjaya Bagi Orang Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) di Arsal, Lembah Bekaa, semalam. - Foto AFP
OPCW masih kaji usaha hapuskan sisa toksik

Geneva: Senjata kimia Syria mungkin diproses dan dimusnahkan di laut, kata sumber yang biasa dengan perbincangan badan antarabangsa yang bertanggungjawab menghapuskan senjata toksik. 

Empat hari selepas Albania menolak permintaan Amerika Syarikat menjadi hos loji penghapusan senjata, diplomat Barat dan pegawai Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) di The Hague berkata ia mengkaji sama ada akan meneruskan usaha itu di laut, di atas kapal atau pantai luar pesisir. 


Pegawai OPCW yang mengesahkan perbincangan itu berkata belum ada keputusan dibuat setakat ini.

“Satu-satunya perkara diketahui ketika ini adalah ia dilaksanakan secara teknikal,” katanya.

Tak pernah dilakukan

Walaupun negara lain, terutama Jepun, menghapuskan senjata kimia di laut, operasi besar-besaran dan kompleks untuk memusnahkan senjata kimia Syria di laut tidak pernah dilakukan sebelum ini. 
Pakar bebas berkata, disebabkan cabaran besar untuk meneutralkan lebih 1,000 tan bahan kimia dan keengganan kerajaan seperti Albania menjadi lokasi untuk pemusnahan senjata terbabit, kaedah pemusnahan di laut terus dipertimbangkan.

“Ada perbincangan mengenai kemungkinan memusnahkan senjata terbabit di atas kapal,” kata pegawai Amerika.

Presiden Bashar al-Assad bersetuju menyertai larangan global ke atas senjata kimia selepas Washington mengancam melancarkan serangan udara berikutan serangan gas sarin ke atas wilayah dikuasai pejuang pemisah Ogos lalu, yang didakwa kerajaan dilakukan musuh.

Hantar ke luar negara

Pemeriksa OPCW memeriksa perisytiharan Syria mengenai 1,300 tan sarin, gas mustard dan ejen kimia lain, memutuskan minggu lalu kebanyakan bahan bahaya perlu dihantar ke luar negara menjelang akhir tahun dan dimusnahkan pada pertengahan 2014.

Walaupun pertempuran mengawal laluan dari ibu negara ke pelabuhan Latakia menimbulkan persoalan berhubung pemindahan kimia ke pantai, keengganan Albania Jumaat lalu mengejutkan perunding, kata sumber. - REUTERS sumber

No comments: