Thursday, December 26, 2013

MESIR - Bom Kereta, 14 Maut

14 maut bom kereta di MesirAnggota polis pencegah rusuhan memberi arahan di luar bangunan polis yang kena bom di bandar Daqahleya di Mansoura, 120 kilometer ke timur laut Kaherah. - Foto Reuters
Pihak berkuasa anggap cubaan gagalkan demokrasi

Kaherah: Letupan bom kereta menggegarkan bangunan polis di ibu kota Mesir awal semalam dan meragut sekurang-kurangnya 14 nyawa dan 100 lagi cedera, serangan yang dianggap cubaan menggagalkan peralihan negara itu ke arah demokrasi.

Beberapa jam kemudian Perdana Menteri, Hazem Beblawi, menggelar Ikhwanul Muslimin, pergerakan diharamkan yang dianggotai bekas Presiden Mohamed Morsi sebagai kumpulan pengganas. 
“Beblawi mengisytiharkan Ikhwanul Muslimin sebagai pertubuhan pengganas,” kata agensi berita MENA memetik kenyataan jurucakap Beblawi, Sherif Showky. 


Sumber keselamatan berkata, letupan yang berlaku amat besar hingga sebahagian bangunan ibu pejabat polis itu musnah.


Ramai polis maut


“Majoriti yang maut anggota polis,” kata gabenor Daqahleya, Omar al-Shawatsi. Impak letupan dirasakan sekitar 20 kilometer dan memecahkan tingkap bangunan berhampiran, kata sumber keselamatan.

Ketua keselamatan Daqahleya, Sami El-Mihi, cedera manakala dua pembantunya maut.
Serangan itu antara yang terburuk sejak tentera menumbangkan Morsi, Julai lalu.

Ia berlaku beberapa minggu menjelang pungutan suara mengenai Perlembagaan baru Mesir yang disifatkan sebagai langkah pertama ke arah demokrasi selepas penyingkiran Morsi pada 3 Julai lalu.

Morsi tumbang selepas bantahan jalanan meletus menentang pemerintahannya yang baru setahun, dengan jutaan rakyat menuduh beliau menyalah urus ekonomi.

Sejak itu, lebih 1,000 orang terbunuh dalam tindakan keras kerajaan ke atas penyokongnya, termasuk beratus-ratus lagi apabila polis menyerbu dua kem penyokongnya di Kaherah, 14 Ogos lalu.

Kekerasan menyaksikan beribu-ribu penyokong Ikhwanul Muslimin termasuk seluruh kepemimpinannya ditahan.

Pemimpin pergerakan itu, termasuk ketua utama, Mohamed Badie, dibicarakan. Morsi juga dibicarakan berhubung beberapa dakwaan termasuk berkaitan kematian penunjuk perasaan ketika menjadi presiden.

Pendakwa Mesir dan pegawai berkata, Ikhwanul Muslimin mempunyai kaitan dengan militan Islam yang meningkatkan serangan ke atas pasukan keselamatan di seluruh negara terutama di Semenanjung Sinai.

Beblawi berkata, serangan terbaru adalah cubaan menggagalkan usaha negara itu ke arah demokrasi dan mengisytiharkan Ikhwanul Muslimin sebagai kumpulan pengganas. - AFP sumber

No comments: