Monday, December 2, 2013

MESIR - Panel Undi Tambah Kuasa Tentera

Kaherah: Sebuah panel Mesir semalam memberi tumpuan kepada peranan tentera ketika mengundi Perlembagaan baru, langkah pertama dalam peralihan ke arah demokrasi selepas tentera menggulingkan Presiden, Mohamed Morsi. 

Jika diterima, Perlembagaan terbabit akan dikemukakan untuk diluluskan menerusi referendum atau pungutan suara awal tahun depan diikuti dengan pilihan raya parlimen dan presiden pertengahan 2014. 

Hari pertama undian semalam menyaksikan 50 anggota panel meluluskan 138 daripada 247 fasal yang dirangka. 


Satu daripadanya menetapkan Syariah Islam bakal menjadi sumber perundangan utama, seperti juga ketika pemerintahan Hosni Mubarak. 

Perkara utama lain yang diluluskan, melarang pembentukan parti agama atau parti berlandaskan agama. Semalam, artikel 204 dan 234 menjadi tumpuan. 

Ia membabitkan tentera yang menggulingkan Morsi pada Julai lalu selepas berjuta penduduk menggesa peletakan jawatannya selepas setahun memegang jawatan presiden. 

Artikel 204 menetapkan tiada orang awam boleh dibicarakan hakim tentera kecuali bagi jenayah serangan secara langsung terhadap anggota dan kemudahan tentera. 
Aktivis sekular buat tunjuk perasaan 

Aktivis sekular melakukan tunjuk perasaan dengan mengatakan ia boleh dilaksanakan terhadap penunjuk perasaan, wartawan dan penentang. 

Kebimbangan berkenaan semakin mendalam selepas aktivis, Alaa Abdel Fattah ditahan minggu ini berikutan tunjuk perasaan haram terhadap perbicaraan orang awam oleh tentera. 

Aktivis dan kumpulan hak asasi berkata draf perlembagaan itu juga gagal untuk menghalang kuasa dan keistimewaan tentera. 

Artikel 234 menetapkan bahawa menteri pertahanan dilantik dengan perjanjian bersama Majlis Tertinggi Tentera Bersenjata walaupun jurucakap panel, Mohammed Salmawy memberitahu, perkara itu hanya akan terpakai untuk dua penggal pemerintahan. 

Panglima tentera dan Menteri Pertahanan, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi popular dan dilihat sebagai kuasa sebenar di belakang kerajaan sementara selepas mengetuai penggulingan Morsi. 

Pemimpin Islam yang digulingkan itu sendiri melantik Sisi sebagai Menteri Pertahanan pada Ogos 2012. - AFP sumber

No comments: