Sheikh Hamad serah kuasa kepada anak

Doha: Pemimpin Qatar, Sheikh Hamad bin Khalifa al-Thani, semalam turun takhta dan menyerahkan kuasa kepada anak lelakinya, Sheikh Tamim. 
Sheikh Hamad dianggap antara pemimpin berpengaruh di pentas antarabangsa dan menyokong kuat kebangkitan penduduk Arab yang dipanggil ‘Arab Spring’. 

Saya yakin anda akan menyokongnya seperti juga ketika saya memimpin. Saya yakin Tamim akan mengutamakan kepentingan negara dan kebahagiaan rakyat” Sheikh Hamad bin Khalifa al-Thani, Emir Qatar

Ketika memerintah selama 18 tahun, Sheikh Hamad, 61, membangunkan Qatar menjadi kuasa politik dan ekonomi serantau dengan pelaburan berbilion dolar di seluruh dunia.

Masalah kesihatan


Sheikh Hamad mengalami masalah buah pinggang tetapi diplomat menekankan keputusannya menyerah kuasa tiada kaitan dengan kesihatannya tetapi supaya generasi muda mengambil alih kepemimpinan.
“Saya mahu maklumkan kepada anda hari ini (semalam) bahawa saya serahkan kuasa pemerintahan kepada Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani.

“Kepada rakyat Qatar, saya harap sudah berjaya memikul tanggungjawab,” kata emir itu dalam siaran langsung di televisyen.

Keputusan itu menandakan permulaan era baru kepemimpinan muda memikul harapan generasi akan datang, katanya lagi.

Tamim yang dilahirkan pada 1980 adalah anak lelaki kedua Sheikh Hamad bersama isteri keduanya, Sheikha Mozah.

Selepas ucapan itu, televisyen Al-Jazeera menyiarkan rakaman menunjukkan penduduk tiba di istana di Doha untuk bersumpah taat setia kepada Tamim yang berdiri di sebelah bapanya sambil tersenyum.

“Saya yakin anda akan menyokongnya seperti juga ketika saya memimpin,” kata Sheikh Hamad.

Tamim utamakan rakyat

“Saya yakin Tamim akan mengutamakan kepentingan negara dan kebahagiaan rakyat,” katanya lagi.

Sheikh Hamad yang menggunakan kekayaan gas Qatar untuk memodenkan negara itu, berkuasa selepas merampas kuasa pada Jun 1995 apabila menggulingkan bapanya sendiri, Sheikh Khalifa.

Keputusannya melepaskan kuasa menjadikan Tamim sebagai raja termuda berkuasa di rantau Teluk. - AFP