Manila: Tentera Filipina semalam berkata, pihaknya membunuh 17 militan
yang menentang perjanjian keamanan yang dicapai antara kerajaan dan
kumpulan pemisah Islam negara itu, ketika pertempuran meningkat pada
hari kedua.
Jurucakap tentera wilayah, Kolonel Dickson Hermoso, berkata lebih
1,500 tentera terbabit dalam kempen menentang Pejuang Pembebasan Islam
Bangsamoro (BIFF) di kawasan pertanian selatan negara itu.
Beliau berkata, 17 ahli BIFF disahkan terbunuh di dalam pertempuran
minggu ini, sementara dua lagi tentera dan seorang awam cedera.
Serangan dilancarkan kelmarin, dua hari selepas kejayaan
memuktamadkan rundingan antara kerajaan dan Barisan Pembebasan Islam
Moro (MILF) yang disasarkan untuk menamatkan pemberontakan selama
berdekad yang membunuh berpuluh ribu orang.
Serangan maut
BIFF adalah kumpulan militan kecil yang menentang usaha damai, dan
melakukan banyak serangan maut beberapa tahun kebelakangan ini bagi
menggagalkan proses perdamaian.
“Usaha menamatkan ancaman BIFF adalah aspek penting untuk membantu
entiti politik pemerintahan sendiri Islam yang akan ditubuhkan menerusi
perjanjian damai ini,” kata Hermoso kepada AFP.
Beliau berkata, pertembungan bersenjata kecil berterusan pada
Selasa dalam tiga perkampungan pertanian berhampiran pekan Datu Piang,
kira-kira 800 kilometer di selatan Manila.
Hermoso berkata, BIFF mempunyai 120 ahli ‘tegar’ disokong sejumlah
saudara terdekat dan kumpulan bersenjata lain yang menentang rundingan
aman.
Beliau berkata, tentera melaksanakan ‘operasi melaksanakan
undang-undang’ bagi menangkap 25 militan, yang berdepan beberapa tuduhan
jenayah, termasuk penculikan, pembunuhan dan penyeksaan orang awam.
MILF sudah menerajui pemberontakan sejak 1970-an, yang disasarkan
untuk mencapai kemerdekaan atau pemerintahan sendiri bagi minoriti Islam
di wilayah selatan Mindanao, yang mana mereka menganggapnya sebagai
tanah tumpah darah mereka.
BIFF tarik diri berunding
Bagaimanapun ketika kumpulan itu mengadakan rundingan damai dengan
kerajaan, BIFF menarik diri dan menuduh pemimpin utama pemberontak
Islam itu mengkhianati usaha minoriti Islam untuk mencapai kemerdekaan.
Selepas 18 tahun rundingan, MILF dan kerajaan bersetuju pada Sabtu
membabitkan bahagian akhir perjanjian keamanan yang dirancang iaitu
penubuhan wilayah autonomi. Perjanjian itu dijangka ditandatangani pada
akhir Mac depan. - AFP
sumber