Saturday, January 11, 2014

AFGHANISTAN - Karzai Diberi Amaran oleh AS

WASHINGTON: Perunding tertinggi Amerika Syarikat dalam perbincangan bagi jaminan keselamatan jangka panjang dengan Afghanistan memberi amaran bahawa Presiden Hamid Karzai tidak akan menandatangani perjanjian mengikut masa ditetapkan, lapor The Washington Post semalam. 

Penilaian terbabit dibuat beberapa hari lalu oleh wakil Amerika Syarikat, James Cunningham selepas pentadbiran Presiden Barack Obama berulang kali melanjutkan tarikh akhir perjanjian, yang sepatutnya ditandatangani awal musim luruh lalu. 
Jurucakap Rumah Putih, Jay Carney minggu ini berkata bahawa perjanjian berkenaan perlu ditandatangani dalam masa beberapa minggu dan bukan bulan. “Masa terus berjalan,” katanya. 



Tetapi Cunningham berkata beliau tidak menjangka Karzai bersetuju untuk menandatangani perjanjian sebelum pilihan raya presiden yang dijadualkan April. 

Hubungan Amerika Syarikat dan Afghanistan semakin buruk sejak beberapa bulan selepas Karzai membuat satu keputusan mengejutkan untuk tidak menandatangani Perjanjian Keselamatan Dua Hala (BSA), walaupun berikrar untuk melakukannya. 

BSA akan menyaksikan beribu-ribu tentera Amerika Syarikat terus berada di Afghanistan memberikan latihan dan bantuan selepas misi NATO berakhir pada Disember. 
Tandatangan BSA adalah antara syarat awal untuk penghantaran bantuan Barat berbilion dolar untuk Afghanistan. 

“Kita terus menggesa Presiden Karzai untuk menandatangani BSA dengan segera,” kata seorang pegawai kanan Jabatan Negara kepada Post ketika ditanya mengenai kabel Cunningham. 

Presiden Barack Obama memberi amaran bahawa kecuali Karzai mematuhi perjanjian keselamatan itu segera, tidak ada pilihan lain kecuali untuk Amerika Syarikat bersedia membuat pengunduran penuh. – AFP sumber

No comments: