Wednesday, January 29, 2014

FILIPINA - 17 Pemisah Islam Terbunuh

Manila: Tentera Filipina semalam berkata, pihaknya membunuh 17 militan yang menentang perjanjian keamanan yang dicapai antara kerajaan dan kumpulan pemisah Islam negara itu, ketika pertempuran meningkat pada hari kedua.

Jurucakap tentera wilayah, Kolonel Dickson Hermoso, berkata lebih 1,500 tentera terbabit dalam kempen menentang Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) di kawasan pertanian selatan negara itu.
Beliau berkata, 17 ahli BIFF disahkan terbunuh di dalam pertempuran minggu ini, sementara dua lagi tentera dan seorang awam cedera.


Serangan dilancarkan kelmarin, dua hari selepas kejayaan memuktamadkan rundingan antara kerajaan dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang disasarkan untuk menamatkan pemberontakan selama berdekad yang membunuh berpuluh ribu orang.

Serangan maut

BIFF adalah kumpulan militan kecil yang menentang usaha damai, dan melakukan banyak serangan maut beberapa tahun kebelakangan ini bagi menggagalkan proses perdamaian.

“Usaha menamatkan ancaman BIFF adalah aspek penting untuk membantu entiti politik pemerintahan sendiri Islam yang akan ditubuhkan menerusi perjanjian damai ini,” kata Hermoso kepada AFP.
Beliau berkata, pertembungan bersenjata kecil berterusan pada Selasa dalam tiga perkampungan pertanian berhampiran pekan Datu Piang, kira-kira 800 kilometer di selatan Manila.

Hermoso berkata, BIFF mempunyai 120 ahli ‘tegar’ disokong sejumlah saudara terdekat dan kumpulan bersenjata lain yang menentang rundingan aman.

Beliau berkata, tentera melaksanakan ‘operasi melaksanakan undang-undang’ bagi menangkap 25 militan, yang berdepan beberapa tuduhan jenayah, termasuk penculikan, pembunuhan dan penyeksaan orang awam.

MILF sudah menerajui pemberontakan sejak 1970-an, yang disasarkan untuk mencapai kemerdekaan atau pemerintahan sendiri bagi minoriti Islam di wilayah selatan Mindanao, yang mana mereka menganggapnya sebagai tanah tumpah darah mereka.

BIFF tarik diri berunding

Bagaimanapun ketika kumpulan itu mengadakan rundingan damai dengan kerajaan, BIFF menarik diri dan menuduh pemimpin utama pemberontak Islam itu mengkhianati usaha minoriti Islam untuk mencapai kemerdekaan.

Selepas 18 tahun rundingan, MILF dan kerajaan bersetuju pada Sabtu membabitkan bahagian akhir perjanjian keamanan yang dirancang iaitu penubuhan wilayah autonomi. Perjanjian itu dijangka ditandatangani pada akhir Mac depan. - AFP sumber

No comments: